Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

Mobile Legends: King Zyzz kecewa, sah tidak sertai MPL

Mobile Legends: King Zyzz kecewa, sah tidak sertai MPL
King Zyzz berkata dia akan bertindak sebagai jurulatih MyA mulai bulan ini. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
KUALA LUMPUR: Bekas kapten pasukan Mobile Legends terbaik Malaysia bagi Liga Profesional (MPL) Musim Pertama Mysterious Assassins (MyA) Mohd Zulshahrin 'King Zyzz' Zulkifli mengambil keputusan untuk tidak menyertai kejohanan tersebut bagi musim kali ini.

King Zyzz berkata dia kecewa dengan keputusan penganjur Moonton yang tidak membenarkan MyA untuk mendapat jemputan terus bagi menyertai MPL kali ini berikutan peraturan yang ditetapkan.
“Saya memang kecewa tapi akur dengan keputusan itu. MyA akan bermula dari bawah iaitu menerusi pusingan kelayakan yang akan bermula bulan ini.

“Saya percaya dengan pasukan MyA yang kini dilihat semakin kuat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya, Moonton menetapkan hanya empat kumpulan teratas dengan tiga ahli daripada musim lalu layak untuk mendapat jemputan terus MPL musim ini.

Empat pasukan tesebut adalah juara musim lalu Bigetron E-sports (sebelum ini dikenali sebagai IDNS SG), naib juara juara Flash Tyrants, tempat ke-4 AirAsia Saiyan dan tempat ke-5 Mystic Burden. 

MyA yang berada di tangga ke-3 pada musim itu bagaimanapun tidak mendapat jemputan terus MPL kerana tiga ahli kumpulan MyA yang bertanding pada musim lalu sah meninggalkan kumpulan tersebut.

Pada 18 April lalu, pemain tank Mohd Haqqani '2ez4jepv' Jaffar mengumumkan dia meninggalkan MyA dan menyertai pasukan baharu Team Tamago.

Sementara itu, pemain assassins Mohd Faris 'Soloz' Zakaria menyertai AirAsia Saiyan pada 3 Mei lalu.

Pemain marksman Khor Hoi 'Facebook' Cean pula sah meninggalkan kumpulan tersebut namun tidak diumumkan jika dia akan menyertai mana-mana kumpulan Mobile Legends yang lain.

BACA: MyA kuat bukan kerana skil individu, tapi sebagai satu pasukan - King Zyzz

Lantaran itu, King Zyzz berkata dia akan bertindak sebagai jurulatih MyA mulai bulan ini. 

“Keputusan untuk tidak menjadi pemain lagi juga disebabkan saya sibuk dengan kerja dan menjadi pemain profesional memerlukan komitmen latihan yang berterusan.

“Tapi saya akan terus bekerja keras untuk menaikkan nama MyA.

“Saya bangga dengan pencapaian MyA. Daripada tidak dikenali langsung, kini menjadi salah satu pasukan terhebat di Malaysia,” tambahnya.

King Zyzz turut berkongsikan kepada Astro AWANI enam pemain utama MyA bagi Liga Profesional Musim Kedua nanti iaitu:

  1. Zaidi ‘Lmao’ Asli
  2. Muhamad Azim ‘Flint’ M.Suhaimi
  3. Muhd Hilmi ‘Sh4dow’ Abd Halim
  4. Muhammad Hazim ‘D Ace’ Zulkifli
  5. Muhamad Fadhil ‘Padel’ Hishamuddin
  6. Muhammad Adib ‘Nina’ Mohd Rizal
MyA ditubuhkan pada Oktober 2016 oleh King Zyzz dan Muhd Hilmi 'Sh4dow' Abdul Halim. Ia kemudiannya disertai 2ez4jepv, Soloz dan Facebook.

Antara pencapaian membanggakan yang pernah diraih MyA termasuk tempat ketiga Liga Profesional Mobile Legends Malaysia dan Singapura yang berlangsung bulan lalu, Juara Battleground dan Naib Johan Piala MVP pada tahun lalu.