Kapten pasukan Mobile Legends tempatan Mysterious Assassins (MyA) Mohd Zulshahrin 'King Zyzz' Zulkifli tidak menafikan mempunyai sedikit perasaan cemburu terhadap mutu persembahan permainan kosisten oleh pasukan Mobile Legends nombor satu Malaysia, AirAsia Saiyan.

Mohd Zulshahrin berkata perasaan cemburu itu diserapkan sebagai suntikan semangat yang memaksa mereka untuk terus berusaha dengan lebih keras.

Jelasnya mudah, Mya tidak mahu terus dilabel sebagai yang kedua terbaik di Malaysia.

“Kami akan kalahkan AirAsia Saiyan. Dalam Liga Profesional Mobile Legends Malaysia & Singapura (MPL) ini memang terdiri daripada pasukan-pasukan yang sangat kuat tapi kami akan jadi cuba jadi juara.

“Kami mahu buktikan yang kami juga yang terbaik,” katanya ketika ditemui di pusat membeli-belah One Utama sempena persiapan pusingan penentu MPL, semalam.

Pada pusingan saringan MPL, MyA berada di kedudukan keempat dengan 12 mata.

Kedudukan MPL MYSG

Salah seorang pemain MyA, Muhammad Hilmi 'Sh4dow' Abd Halim sebelum ini dinobatkan sebagai pemain terbaik KDA (Kill-Death-Assist) bagi liga tersebut dengan 68 Kill (mata menewaskan musuh), 27 Death (mati ditewaskan), dan 138 Assist (membantu menewaskan musuh) yang membawa kepada nilai keseluruhan mata 9.9.

Mengimbas kembali detik-detik permulaan MyA sehingga hari ini Mohd Zulshahrin berkata tidak pernah menjangkakan pasukannya dapat sampai ke tahap ini,.

“Mula-mula kami tubuhkan MyA untuk keluarga dan rakan-rakan sahaja. Tiba-tiba selepas kerap bermain dalam beberapa kejohanan, ramai mula mengenali kami.

“Memang tak sangkalah. Jadi, kami sangat menghargai peminat kami,” tambahnya.

Selain Mohd Zulshahrin dan Muhammad Hilmi, MyA turut terdiri daripada Mohd Faris "Soloz" Zakaria, Mohd Haqqani '2ez4Jepv' Jaffar, Khor Hoi 'Facebook' Cean dan Surya Abiyasa 'BH-Godz' Akbar.

MyA bersama lapan lagi pasukan Mobile Legends di Malaysia dan Singapura kini sedang berentap dalam pusingan penentu MPL yang menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM236,000 (AS$ 61,000).

Juara bagi liga yang berlangsung tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad itu akan membawa pulang kira-kira RM110,000 (AS$30,000).