Pengurus pasukan Flash Vision Mysterious Assassins (Fv.MyA) Benny Teh memohon maaf berikutan kemungkinan telah menimbulkan salah faham daripada pihaknya berhubung spekulasi pertukaran pemain yang melibatkan pasukan Mystic Burden (MCB) dan pemain profesional Mohd Haqqani '2ez4jepv' Jaffar.

Benny berkata dia tidak mempunyai sebarang dendam terhadap MCB atau mana mana pihak.

“Kenyataan saya sebelum ini di media sosial berhubung Liga Profesional Mobile Legends (MPL) dilihat telah menyebabkan kekecohan.

“Namun saya berdiri teguh dengan pendirian saya mengenai industri e-sukan, terutama apabila melibatkan profesionalisme dan etika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini timbul dakwaan dan spekulasi di media sosial mengenai 2ez4jepv yang dikatakan melompat pasukan daripada Everyday Gaming ke MCB selepas pusingan kelayakan MPL berlangsung.

Spekulasi tersebut timbul apabila Benny memuat naik status beberapa hari yang lalu, yang mempersoalkan tindakan penganjur yang membenarkan pertukaran pemain selepas pusingan kelayakan tamat.


Bagaimanapun, Benny berkata selepas mengadakan beberapa pertemuan pihak yang berkaitan, MCB dilihat melakukan pertukaran pemain yang sah mengikut peraturan yang ditetapkan namun terdapat masalah komunikasi dengan pihak penganjur.

Jelasnya, dia bertanggungjawab dengan kenyataan yang dikeluarkan daripada pihaknya.

MPL kali ini menyaksikan MCB tidak perlu menyertai sebarang pusingan kelayakan berikutan pencapaian mereka musim lalu.

Selain MCB, Bigetron E-sports, Flash Tyrants dan AirAsia Saiyan turut mendapat jemputan terus ke liga tersebut tanpa keperluan menyertai sebarang pusingan kelayakan.

Empat lagi pasukan iaitu Saiyan Reborn, Traitor, ICON MY dan Borneo Dragon FV telah melepasi pusingan kelayakan yang lalu dan bakal beraksi pada peringkat liga yang dijangka berlangsung pada 10 Ogos nanti.

Bertemakan ‘Kebangkitan Legenda’, MPL musim kali ini menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM399,000.

Sementara itu Fv.Mya yang diuruskan Benny, bakal berdepan dengan pasukan We Own World pada hujung minggu ini dalam pusingan Wild Card.