Syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan kejohanan badminton Masters Malaysia 2020 adalah sebuah syarikat bereputasi baik dan telah bekerjasama dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kira-kira sedekad.

"Syarikat pengangkutan tersebut, telah bekerja bersama BAM untuk lebih daripada 10 tahun," kata Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh ketika ditanya mengenai kredibiliti syarikat penyedia pengangkutan tersebut.

Salah sebuah van syarikat tersebut yang membawa pemain badminton nombor satu dunia, Kento Momota dan tiga lagi pegawai, terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah lori kira-kira jam 4.40 pagi Isnin di KM13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Pemandu van tersebut, B. Nageswarau maut di tempat kejadian.

Goh berkata, BAM telah sentiasa berhubung dengan Persatuan Badminton Nippon (NBA) bagi memberikan perkembangan terkini mengenai Momota dan mereka yang terlibat.

"Kami akan sentiasa memberikan maklumat terkini kepada mereka melalui kesemua saluran," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Selain Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman dan isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang juga merupakan bekas patron BAM, Momota turut dilawati Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.

Juara dunia 2018 dan 2019 itu kini sedang dirawat di Hospital Putrajaya akibat luka di beberapa bahagian muka termasuk di sinus maksila dan patah tulang hidung.

Kenny mendedahkan sejumlah 400 orang pemain, jurulatih, pegawai dan pengadil telah dibawa di sepanjang kejohanan enam hari tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama penyedia pengangkutan tersebut.

Sementara itu Kedutaan Jepun dalam satu kenyataan berasingan meminta pihak media untuk tidak mengganggu Momota dan pegawai-pegawai lain, yang masih menerima rawatan di Hospital Putrajaya.

"Kami berterima kasih atas kefahaman dan kerjasama. Sila hubungi kami jika anda mempunyai sebarang pertanyaan," menurut kenyataan tersebut.

Pegawai yang terlibat ialah pembantu jurulatih Yu Hirayama, 35, (luka pada tulang kering sebelah kanan); pegawai fisioterapi Morimoto Akifumi, 42, (konkusi otak dan fraktur tertutup) dan William Thomas, 30, seorang operator sistem Hawkeye (luka di kepala dan bahagian bawah kaki).

Momota dalam perjalanan pulang ke Jepun selepas memenangi gelaran pertamanya di Masters Malaysia di Arena Axiata di sini semalam.

Beliau mengalahkan bekas juara dunia Viktor Axelsen dari Denmark pada perlawanan akhir pada Ahad.

Momota sepatutnya bermain di Masters Indonesia yang dijadualkan bermula hari ini hingga Ahad di Istora Senayan, Jakarta, namun menarik diri atas sebab-sebab kesihatan.

-- BERNAMA