Pelumba dari Itali, Franco Morbidelli akan terus bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) untuk dua tahun lagi sehingga tahun 2022.

Morbidelli berkata, beliau gembira untuk memperbaharui kontraknya untuk dua tahun lagi selepas cemerlang dengan pasukan itu yang memperlihatkan beliau bermula di barisan hadapan empat kali, dan menduduki tempat keenam terbaik tujuh kali bersama jentera Yamaha YZR-M1.

"Saya rasa adalah penting untuk saya terus bersama pasukan yang sama, motosikal dan suasana, dan meneruskan kerana kerjasama hebat bersama mereka.

"Kami semua bekerjasama dan ia suatu yang menarik untuk bekerja bersama kesemua krew Petronas SRT," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pasukan itu.

"Saya mahu berterima kasih untuk peluang yang mereka berikan kepada saya, dan ia satu penghormatan untuk menunggang untuk mereka.

"Saya akan bekerja keras bagi memberikan mereka keputusan yang lebih baik lagi yang telah kami capai pada tahun pertama kami bersama," kata pemenang anugerah pelumba baru terbaik MotoGP tahun 2008 yang sebelum ini berlumba untuk Marc VDS Racing Team.

Prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT Datuk Razlan Razali mengalu-alukan keputusan pelumba berusia 25 tahun itu yang lebih mesra dipanggil Franky, dan yakin beliau akan berjaya mencapai keputusan yang lebih baik di musim akan datang.

"Franky sentiasa berada di dalam perancangan masa hadapan jadi ia memberikan kelebihan kepada kami dan dengan beliau dapat mengesahkan beliau akan terus menunggang untuk kami pada 2021 dan 2022.

"Franky berpotensi untuk menang dan inilah yang akan berusaha keras untuk mencapainya. Kami yakin pada beliau, walaupun sebelum musim bermula.

"Kami yakin Franky akan beri saingan dari Jerez dan beliau akan lebih baik dan matang dalam semua perkara di masa hadapan," katanya lagi.

Musim hadapan, Morbidelli dijangka akan berpasangan dengan rakan senegara, bekas juga MotoGP sembilan kali Valentino Rossi.

Rossi yang sebelum ini bersama pasukan Monster Energy Yamaha Factory Team, membuat keputusan untuk bertukar pasukan selepas enam tahun bersama pasukan Italian-Japanese.

Tempat beliau digantikan pasangan Morbidelli, Fabio Quartararo musim ini yang telah menandatangani kontrak dua tahun.

-- BERNAMA