BEKAS pengurus Manchester United, Jose Mourinho akan kembali dalam arena bola sepak pada musim panas ini.

Bercakap kepada BeIn Sports, Mourinho berkata dia mahu kembali pada bulan Jun bersama kelab bola sepak baharu dan juga melakukan persediaan pra-musim.

Pengendali dari Portugal itu bagaimanapun masih lagi menunggu tawaran yang paling sesuai untuknya kembali.

Setakat ini, Mourinho mendakwa menolak tawaran tiga atau empat tawaran, dan sedang bersedia untuk projek seterusnya.

“Saya memang tahu apa yang saya tidak mahu. Saya tahu apa yang saya mahu, dari segi bukan kelab yang spesifik tetapi persekitaran dan dimensi kerja tersebut,” kata Mourinho.

Tambah Mourinho, dia sedang melakukan persediaan untuk projek terbarunya dan menolak akan menjadi pengurus pasukan bola sepak mana-mana negara.

Alasan yang diberikan Mourinho, dia gemar bekerja setiap hari dan terlibat dalam banyak kejohanan.

Mourinho sebelum ini dikaitkan untuk kembali ke bekas kelab, Real Madrid sebelum kelab gergasi Sepanyol itu melantik semula Zinedine Zidane.