RADJA Nainggolan diketepikan daripada skuad Roma bagi pertemuan dengan Atalanta selepas memuat naik video dirinya sedang menghisap rokok, mengambil minuman keras dan mengeluarkan kata-kata kesat dalam laman sosialnya.

Pemain kebangsaan Belgium itu memuat naik klip tersebut dalam akaun Instagram pada malam tahun baru, sebelum membuat pengakuan mengenai perbuatannya itu.

Nainggolan kemudian memohon maaf tetapi perbuatan pemain berusia 29 tahun itu menyaksikan dia diketepikan daripada skuad Roma bagi aksi Serie A bertemu Atalanta.

Pengendali pasukan, Eusebio Di Francesco, menyifatkan setiap pemain harus menghormati pasukan dan menjaga nama baik Roma.

"Saya telah berbincang dengan Nainggolan sebelum anda bertanyakan kepada saya," kata Di Francesco.

"Kami memberikan sokongan kepada Nainggolan, tetapi dia tidak akan dipanggil untuk aksi berdepan Atalanta.

"Perkara ini adalah pengajaran buat semua individu di dalam skuad Roma.

"Jika ada melakukan kesalahan, akan ada akibatnya. Ia merupakan keputusan yang telah diambil dan pemain tersebut menerimanya."