Berita  | Sukan

Muay Thai: Jordan Boy berazam kembali menyengat di Jakarta

Muay Thai: Jordan Boy berazam kembali menyengat di Jakarta
Jordan Boy (tengah) bersama ayahnya Mahmoud Omar (kiri) dan abangnya, Nidal Mahmoud. - Foto Instagram/jordanboy_1996
KUALA LUMPUR: Meskipun pertarungannya di Tokyo tidak berakhir dengan baik, namun itu tidak mematahkan semangat petinju muda Muay Thai negara, Mohammed Mahmoud atau lebih mesra dengan panggilan Jordan Boy.

Mohammed, 22 tahun, berazam akan menebus kekalahannya yang lalu apabila berdepan petinju Scottland, Andrew Miller di kejohanan ONE: For Honor di Jakarta, Indonesia pada 3 Mei nanti.

Abangnya, Nidal Mahmoud yang sendiri melatih adiknya itu untuk pertarungan kali ini, berkata akan memastikan Mohammed bersedia sepenuhnya bagi pertandingan Muay Thai divisyen bantamweight ONE Super Series tersebut.

"Sebenarnya, walaupun tewas, kami, Team Jordan Boy gembira dengan cara Mohammed bertempur. Dia tidak banyak melakukan kesilapan, dan dia melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Tetapi yang paling penting, dia berlawan sepenuh hati.
"Ya, keputusan tidak memihak kepadanya. Tetapi kami tidak membiarkan perkara itu mengganggu kami; Sebaliknya, kami telah menjadikannya pengajaran untuk melakukan yang lebih baik pada pertarungan seterusnya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Untuk perlawanan kali ini yang akan berlangsung di Istora Senayan, Mohammed yang selama ini berlatih di gim Sampuri Muay Thai (Ampang), kini memilih untuk berlatih di gim Monarchy MMA di Kuala Lumpur pula.

Monarchy MMA merupakan gim yang telah melahirkan ramai atlet tempur ternama Malaysia, antaranya ialah Agilan Thani dan Keanu Subba.

"Dia telah berlatih bersungguh-sungguh di Monarchy, dan rakan-rakan atlet negara yang berlatih di sana turut membantunya," kata Nidal, 24, yang merupakan anak sulung dari empat adik-beradik.

Menurutnya, prestasi Mohammed terus meningkatkan sejak kemenangannya ke atas Stergos Mikkios di ONE: Destiny Of Champions di ibu negara, pada Disember tahun lepas.

Itu merupakan pertarungan pertama Jordan Boy di ONE Championship.

"Dia bukanlah jenis yang suka bangun awal pagi. Namun, nampaknya sudah ada perubahan besar. Sekarang dia sudah mula berlatih di rumah pada waktu pagi, lepas tu dia ke Monarchy pula untuk sambung berlatih di sana.

"Selepas itu, dia akan pulang untuk berehat seketika, dan di sebelah petang pula dia akan pergi ke Sampuri untuk berlatih lagi. Dia juga sudah mula berjogging jauh dengan saya. Saya rasa kita dah dapat momentum yang bagus, Jadi, ayuh Jakarta!" kata Nidal lagi.




Tag: ONE Championship, Jordan Boy, Mohammed Mahmoud, Andrew Miller, ONE For Honor, Nidal Mahmoud, ONE Super Series, Istora Senayan, Monarchy MMA, Sampuri Muay Thai


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.