Berita  | Sukan

Muhammad Zarif sasar juara Tekken 7 di kejohanan dunia

Muhammad Zarif sasar juara Tekken 7 di kejohanan dunia
Peserta-peserta negara yang menggalas cabaran pada Kejohanan Dunia International ESports Federation (IESF) bergambar selepas Penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil IESF di Auditorium Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain E-Sports, Muhammad Zarif Aiman Aris memasang impian untuk muncul juara pada Kejohanan Dunia International ESports Federation (IESF) ke-10 di Kaohsiung, Taiwan, bermula esok hingga 13 Nov ini.

Mengakui belajar daripada kesilapan, Muhammad Zarif, 19, tekad bangkit memperbaiki kedudukan kelapan terbaik dunia yang diraih tahun lalu, kepada gelaran juara kategori Tekken 7 kali ini.

"Ini penampilan kedua saya di Kejohanan Dunia. Pengalaman lepas banyak mengajar saya supaya tidak mudah hilang fokus dan tidak boleh cepat berputus asa, ia menjejaskan permainan saya.

"Tahun lepas setelah dikalahkan pemain Filipina yang merupakan juara Tekken 7, saya akui kecewa sehingga kecundang ke tempat kelapan. Saya kaji kelemahan saya dan mungkin kali pertama mewakili negara, saya gugup.
"Kali ini saya lebih yakin dan dengan latihan yang cukup, saya harap dapat memberi saingan lebih kompetitif dan tidak akan mudah mengalah," katanya kepada pemberita di Auditorium Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini hari ini.

Muhammad Zarif berkata beliau mula berkecimpung dalam permainan Tekken 7 sejak berusia 13 tahun.

Terdahulu, Persatuan Sukan Elektronik Malaysia mengadakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada wakil Malaysia yang akan bertanding di Kejohanan Dunia itu.

Selain Muhammad Zarif, pasukan Malaysia turut dibarisi Darius Yap Jian Han, Caleb Rao, Jason Wei Beh Jern, Vince Ng Chee Chuen dan Jordan Tan Jiu Ming, yang mengambil bahagian dalam kategori League of Legends.

Aiman Azham, Shamir Aliff Saifu Khalish, Rusyaidee Nordin, Ashraf Firdaus Kamaruzaman dan Azim Shaharudin pula bertanding dalam kategori Global Offensice (CS:GO).

Pertandingan berkenaan adalah acara tahunan yang diadakan di peringkat antarabangsa semenjak 2009.

Sejak menyertai pertandingan itu dari 2010, Malaysia berjaya mendapat tempat kedua dunia untuk Tekken pada 2012 dan tempat keempat dunia bagi FIFA Online 2010.

Malaysia secara konsisten mendapat tempat kelapan teratas keseluruhan, yang menyaksikan saingan melibatkan lebih 40 negara di seluruh dunia.

-- BERNAMA