Perjalanan tuan rumah, Brazil dalam kempen Piala Dunia 2014 hampir terencat apabila dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-1 keatas Croatia dalam perlawanan sulung Kumpulan A pagi ini.

Croatia walau bagaimanapun mengejutkan jutaan peminat Brazil termasuk yang berada di Stadium Arena Corinthians disini apabila membuka jaringan pertama kejohanan ini melalui jaringan sendiri pertahanan Brazil, Marcelo pada minit ke 11.

Bola umpanan daripada pemain sayap Croatia, Ivica Olic itu gagal disekat oleh pertahanan Thiago Silva dan David Luiz sebaliknya singgah di kaki penyerang Croatia, Nikica Jelavic sebelum tertampan masuk oleh Marcelo.

Tersentak dari jaringan sendiri itu, Brazil memperkemaskan serangan mereka melalui perancang tengah muda mereka, Oscar dan juga Paulinho dan Hulk dimana cubaan mereka hampir sahaja menerjah gawang Croatia.

Namun, ketangkasan penjaga gol veteran Croatia, Stipe Pletikosa berjaya mengagalkan percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh Brazil.

Kemudian, dua minit selepas Neymar dilayangkan kad kuning pertama dalam kejohanan, beliau akhirnya meledak jaringan pertama Brazil untuk menyamakan kedudukan.

Neymar yang menerima hantaran dari Oscar melepaskan rembatannya ke penjuru kanan pintu gol Croatia tanpa dapat dijangkau oleh Pletikosa.

Brazil akhirnya berjaya kembali dihadapan setelah dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Jepun, Yuichi Nishimura apabila penyerang Brazil, Fred dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Dejan Lovren dan Neymar berjaya menyudahkan sepakan tersebut.

Croatia melancarkan serangan balas untuk mencari gol penyamaan namun serangan balas mereka diperangkap oleh gerakan cantik Oscar yang berjaya menjaringkan gol ketiga dan sekaligus gol kemenangan Brazil.

Meski pertukaran pemain dilakukan oleh kedua-dua pasukan, kedudukan kekal sehingga akhir perlawanan dan Brazil berjaya meraih tiga mata berharga untuk perlawanan sulung ini.

Brazil akan bertemu Mexico pada 18 Jun manakala Croatia pula akan bertemu Cameroon pada hari berikutnya.

Pemain Pilihan ASTRO AWANI: Oscar (Brazil)