NEYMAR masih merupakan tonggak Brazil tetapi pengurus skuad Amerika Selatan itu, Tite, tidak gentar untuk beraksi tanpa bintang Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan.

Dia percaya Neymar, yang menyertai PSG daripada Barcelona dengan rekod dunia pada Ogos 2017, beraksi di tahap terbaiknya dalam kariernya ketika di Camp Nou.

Pemain berusia 28 tahun itu sering dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona selepas dua musim di ibu kota Perancis itu dan beberapa siri kecederaan telah meranapkan harapannya menjulang mahkota Liga Juara-Juara (UCL).

"Neymar adalah pemain yang penting tetapi bukanlah tidak boleh ditukar ganti," kata Tite. "Dalam setiap perlawanan, saya bertanya kepada diri sendiri soalan yang sama: bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripadanya, membina dan mengimbangi pasukan di sekelilingnya?

"Saya mendapati posisi terbaiknya di kelab termasuk dalam pasukan kebangsaan adalah ketika dia mewakili Barcelona, iaitu berada di sebelah kiri sebelum menyusup ke kawasan lawan.

"Dengan erti kata lain, bermula dari satu perkara, iaitu bagaimana dia boleh menyesuaikan diri dengan persekitarannya, persepsinya tentang perlawanan, kepantasan tindak balas dan pelaksanaannya, keupayaannya untuk penambahbaikan selain menambah kepantasannya.


"Itulah detik terbaik Neymar yang saya pernah saksikan. Tahap permainan yang ditampilkannya ketika itu adalah yang luar biasa, hanya Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo mampu melakukannya.

"Saya tidak pernah melihat Eden Hazard, Antoine Griezmann atau Paul Pogba bermain di peringkat seperti itu. "

Tahun lalu, Brazil membuktikan perjuangan mereka tanpa Neymar apabila mengungguli Copa America di depan penyokong biarpun bintang mereka itu terlepas kejohanan berkenaan akibat kecederaan buku lali.

Skuad samba itu melengkapkan kejuaraan itu dengan mengatsi Peru 3-1 dalam perlawanan akhir -- kejayaan yang mampu memadamkan kekecewaan dibelasah Jerman 7-1 dalam separuh akhir Piala Dunia ketika menganjurkannya pada 2014.

"Memenangi Copa America di laman sendiri merupakan cabaran utama," katanya. "Khususnya bagi pemain yang menderita dalam Piala Dunia 2014 -- Dani Alves, Fernandinho, Thiago Silva.

"Gelaran ini amat mustahak memandangkan kami telah kehilangan Neymar beberapa hari sebelum kejohanan bermula. Tekanan dan jangkaan penyokong sangat besar jadi kemenangan adalah satu-satunya pilihan yang kami ada.

"Apabila anda perlu menghadapi Argentina dengan Messi, Uruguay dengan Edinson Cavani dan Luis Suarez, atau Colombia dengan James Rodriguez, ketiadaannya semestinya mewujudkan ketidakstabilan emosi.

"Neymar memberikan anda keyakinan kerana dia boleh membuatkan perlawanan menjadi sesuatu yang sukar dijangkakan. Ini kerana dia akan menawarkan penyelesaian secara individu atau kolektif tetapi tidak oleh pemain lain.

"Jadi kejuaraan itu tanpanya dan kemampuan mengatasi tekanan membuat pasukannya menyedari nilainya."