Tutup

Berita  | Sukan

Nicol kembali ke gelanggang... dengan misi baharu cetus inspirasi!

Nicol kembali ke gelanggang... dengan misi baharu cetus inspirasi!
NICOL: Selepas saya bersara, impian saya masih sama, antaranya ialah untuk mengadakan satu acara bertaraf dunia di Malaysia bagi menjadi satu hub skuasy masa hadapan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Nicol David, kini bersedia untuk kembali ke gelanggang skuasy buat pertama kali selepas bersara pada Mei tahun ini, namun kali ini beliau akan berhadapan lawan yang berbeza.

Pemain berusia 36 tahun itu memberikan peluang keemasan kepada dua pemain junior untuk mengasah bakat dan bekerja keras dalam perlawanan mereka menentang juara dunia lapan kali, pada acara pertunjukan dua hari 'The Dream Remains' yang bermula esok (Khamis).
Seorang pemain lelaki muda dan seorang wanita yang akan diumumkan sewaktu perlawanan itu, akan berpeluang sekali seumur hidup mereka, untuk menentang Nicol di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, satu program dirancangkan Nicol dengan skongan Majlis Sukan Negara dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

Bercakap pada sidang media di sini, Nicol berkata, perlawanan pertunjukan serta klinik skuasy kepada 133 pemain junior untuk dua hari itu, merupakan sebahagian daripada sumbangan beliau kepada peminat beliau dan juga sukan, selepas mengumumkan persaraan awal tahun ini.
"Berehat untuk seketika selepas bersara, berikan saya masa berehat dan keinginan untuk bermain semula, jadi sekarang ini bermain bersama junior. Saya telah bermain bersama sebahagian daripada mereka dan cuba untuk mengikuti rentak mereka, jadi harapannya perlawanan itu nanti akan berikan satu lonjakan yang baik untuk mereka," katanya.

Acara utama program itu adalah perlawanan pertunjukan antara empat pemain profesional terbaik daripada Persatuan Skuasy Profesional (PSA), iaitu pemain nombor satu dan nombor 24 dunia, Low Wee Wern, pemain nombor lapan dunia Sarah-Jane Perry dari England, Tinne Gilis dari Belgium (22) dan Hollie Naughton dari Kanada (29).

Pada perlawanan separuh akhir esok, Wee Wern akan bertemu Hollie dan Sarah-Jane menentang Tinne, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, serta final dijadualkan pada Jumaat.

Program dua hari itu terbuka kepada semua orang, masuk adalah percuma, manakala penonton berpeluang mengambil bahagian dalam beberapa acara sampingan, termasuklah memandu uji kereta baharu Mercedes-Benz.

"Selepas saya bersara, impian saya masih sama, antaranya ialah untuk mengadakan satu acara bertaraf dunia di Malaysia bagi menjadi satu hub skuasy masa hadapan dan membawa semula pemain professional terbaik ke Malaysia. Mahu melihat pemain skuasy terbaik bermain di sini dan mendapatkan sokongan daripada peminat Malaysia untuk menjadi inspirasi kepada pemain muda.

"Jadi saya fikirkan kenapa tidak kita mulakan dengan perlawanan pertunjukkan, bawa tiga permain terbaik wanita dunia dan pemain terbaik Malaysia, berikan perlawanan skuasy pada tahap tertinggi. Bermula kecil-kecilan dan kemudiannya membawa penonton lebih ramai ... saya berharap seluruh rakyat Malaysia akan datang dan berikan sokongan kepada kami dan jika responnya baik, saya berharap untuk anjurkannya setiap tahun dan bertaraf dunia," kata juara Asia sembilan kali itu.

Pemain berasal dari Pulau Pinang yang telah memenangi 81 gelaran PSA dan pernah memegang rekod pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut dari 2006 hingga 2015, bermain buat kali terakhir di Terbuka British pada Mei tahun ini, selepas menikmati karier cemerlang dalam skuasy selama 20 tahun.

"Saya amat bertuah untuk menjadi sebahagian daripada acara hebat ini, kita tidak ada kejohanan besar di sini di Malaysia, jadi saya berharap acara ini akan bawa lebih publisiti untuk skuasy dan akan mengembalikan Terbuka Malaysia dalam kalendar semula, kata Wee Wern.

-- BERNAMA


Tag: nicol david, skuasy, pemain pelapis, pemain skuasy junior, atlet malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.