Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang bakal bersara pada Jun depan sudah pun mula mencongak masa depannya .

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu hari ini telah melancarkan kempen yang diilhamkannya dua tahun lalu iaitu Power dalam bentuk video bertujuan memberi motivasi dan inspirasi kepada generasi muda.

“Saya sudah fikirkan perkara ini sejak setahun setengah yang lalu sewaktu beraksi dalam satu kejohanan di Amerika Syarikat. Selama saya berada dalam sukan skuasy, saya dikelilingi oleh mereka-mereka yang hebat dan bagus.

“Saya mahu memainkan peranan saya menerusi kempen ini. Saya mahu berkongsi segala pengalaman dan disiplin saya dalam skuasy agar ia dapat membantu memberi motivasi kepada generasi akan datang,” katanya pada Rabu.

Nicol berkata demikian dalam satu sesi khas beliau bersama media di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang turut dihadiri kedua ibu bapanya, Desmond David dan Ann-Marie David.

Bercerita lanjut, atlet berusia 36 tahun itu bakal beraksi buat kali terakhir di arena pentas skuasy pada Mei ini melalui Kejohanan Terbuka Skuasy Britain.

“Ya, saya akan bersara, tetapi saya tidak mahu pergi begitu sahaja. Saya mahu berikan bakti saya melalui tiga siri video bertajuk Power.

“Ini adalah perkara yang terbaik yang perlu saya lakukan selepas tidak lagi bermain skuasy. Saya mahu berkongsi kisah saya melalui pendekatan yang bagus melalui tiga kata kunci utama iaitu 'Power', 'Determination' dan 'Heart',” katanya.

Nicol juga akan terus aktif sebagai jurulatih dalam sukan skuasy untuk membantu membangunkan atlet kebangsaan skuasy dan pada masa sama, berkongsi ilmu dan kemahiran bersama jurulatih sedia ada.

Juara dunia sebanyak lapan kali itu akan terus berkhidmat melalui Yayasan Nicol David yang bertujuan memperkasakan wanita menerusi sukan sekali gus mencapai potensi diri mereka.

Nicol yang pernah memegang status sebagai pemain No. 1 dunia selama sembilan tahun berturut-turut juga akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Melalui PSA, Nicol akan meningkatkan kesedaran dalam dunia sukan secara global dan membina pasukan sokongan khusu buat pemain skuasy profesional.

Khusus buat rakyat Malaysia, penerima tiga pingat emas Sukan Dunia itu akan terus berkongsi kisah, penulisan dan ceramah menerusi siri motivasi, ‘Nurturing Belief’.