Petanda baik bagi ratu squasy negara, Datuk Nicol David yang akan melangkah ke musim baharu Terbuka Hong Kong bulan depan, bila beliau memenangi Pertandingan Squasy Wanita Jemputan SRAM 2016 hari ini.

Nicol di ranking ke-4 dunia, terus mempamerkan prestasi menarik pada pertandingan peringkat akhir dengan mengambil masa hanya 28 minit menumpaskan pemain India Joshpa Chinnapa dalam 'straight set' di Pusat Squasy Kebangsaan, Bukit Jalil.

Pemain dari Pulau Pinang itu menang 11-6, 11-6 dan 11-4.

"Setiap kemenangan adalah bonus buat saya, pertandingan ini satu kelebihan buat saya, saya gembira dapat menguasai pertandingan ini, setiap hari menjadi lebih tepat dan mantap.

"Saya menunggu-nunggu untuk musim akan datang," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Nicol berkata beliau siap sedia untuk merangkul kembali kedudukan nombor satu dunia pada musim akan datang.

Pemain itu menduduki tempat berkenaan pada Ogos 2006 dan kekal di situ selama sembilan tahun berturut-turut (109-bulan) sebelum terkeluar pada September 2015.

Terdahulu, dalam pertandingan hari ini, Omneya Abdel Kawy, Mesir memenangi tempat ketiga selepas menewaskan Joelle King, New Zealand 11-4, 8-11, 9-11, 11-5 dan 12-10.

Sementara seorang lagi pemain kebangsaan, Delia Arnold menduduki tempat keenam setelah tewas kepada Jenny Duncalf, England 9-11, 11-9, 3-11 dan 6-11.