Pelumba Selangor, Nur Qadrina Emylia Norzali meraih pingat emas acara 7.5 kilometer (Km) scratch individu wanita bawah 19 tahun pada siri pertama Kejohanan Berbasikal Trek Remaja CIMB (JCM-CIMB) 2018 di Velodrom Nasional di sini, malam tadi.

Pada perlumbaan melibatkan 30 pusingan disertai tujuh pelumba itu, Nur Qadrina muncul juara setelah menewaskan pelumba Perlis, Nur Fatin Ellana Kamarudin dan rakan sepasukan, Nur Alya Mohd Azli, yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Bagi acara 5km scratch individu wanita bawah 17 tahun membabitkan 20 pusingan, pingat emas milik Nurul Izzah Izzati Mohd Asri daripada Majlis Sukan Negeri Kedah, selepas berjaya mengalahkan lapan pencabarnya.

Pada saingan itu, pingat perak dimenangi Yeong Zheng Yi dari Wilayah Persekutuan, manakala pelumba Pahang Yong Ann Yii meraih gangsa.

Acara 5km scratch individu wanita bawah 15 tahun pula, menyaksikan pelumba Sekolah Sukan Malaysia Terengganu Nurul Fatihah Mohd Daud memenangi pingat emas setelah menewaskan lapan pelumba lain dalam perlumbaan melibatkan 20 pusingan.

Mewakili Perak, Nyo Chi Hui meraih pingat perak, sementara gangsa milik Ameera Alya Md Zahiruddin daripada Sekolah Sukan Malaysia Terengganu.

Kejohanan berlangsung selama empat hari bermula hari ini, menarik penyertaan 200 pelumba daripada seluruh negara membabitkan tiga kategori umur -- 15, 17 dan 19 tahun.

Antara acara yang dipertandingkan ialah keirin, ujian masa, pecut, Flying 200m, scratch, kejar-mengejar berpasukan dan kejar-mengejar individu. -- Bernama