SEJAK Liga Hoki Eropah (EHL) diperkenalkan pada 2007, belum pernah ada pemain Malaysia menjejakkan kaki ke pentas itu.

Berapa ramai pemain negara seperti mendiang Chua Boon Huat, S. Selvaraju, Ismail Abu, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil dan Faizal Saari berkelana ke Eropah sejak dekad lalu.

Sama ada beraksi dalam divisyen bawahan atau gagal bantu pasukan mereka ke EHL.

Namun selepas 13 tahun, muncul pemain tengah hoki wanita negara, Nuraini Abd Rashid dan penjaga gol, Farah Ayuni Yahya.

Mereka tidaklah memiliki nama besar melainkan Ayuni pernah diangkat sebagai penjaga gol terbaik Trofi Juara-Juara Asia 2018.

Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa tahu.

Biarpun dianggap sebagai pendatang baru Liga Hoki England namun gandingan negara ini berjaya bantu kelab East Grinstead muncul naib juara liga.

Realitinya pencapaian itu diraih selepas Hoki England menamatkan liga lebih awal ekoran pandemik Covid-19.

Tetapi, Persekutuan Hoki Eropah (EHF) mengumumkan EHL akan diadakan tahun depan dan England mendapat dua kuota (juara dan naib juara liga).

Ia sejarah baru East Grinstead yang ditubuhkan pada 1897 dimana skuad wanita mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke EHL sejak 123 tahun lalu.

Ia juga bermakna, Nuraini dan Ayuni berpeluang cipta sejarah baru hoki negara.

"Kami sedang menunggu kelulusan kerajaan untuk memulakan sesi latihan (bergantung kepada situasi Covid-19) dan berharap Persekutuan Hoki Malaysia (KHM) membenarkan kedua-dua pemain ini menyertai kami," kata jurulatih East Grinstead, Mary Booth.

"Saya harap KHM dan PDRM dapat beri kelulusan. Ia mungkin kali pertama dan terakhir saya menyertai EHL. Ia akan jadi kenangan paling manis dalam karier hoki antarabangsa," kata Ayuni.

Masih ada banyak masa untuk buat keputusan kerana EHF belum menetapkan venue dan tarikh kejohanan, tahun depan.

Buat masa ini, Nuraini dan Ayuni perlu mempersiapkan diri mereka dengan meningkatkan kecergasan dan teknik permainan yang pasti lebih mencabar di Eropah.

Selamat berjaya Malaysian Tigress!