UPACARA pembukaan Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berlangsung dengan penuh gemilang di Stadium Gelora Bung Karno dalam suasana penuh warna-warni dan juga tradisi negara tuan rumah Indonesia.

Kontinjen 115 atlet dan pegawai Malaysia berarak masuk ke tengah stadium dengan megah dan ia diketuai Shakila Salni Jefry Krishnan yang membawa Jalur Gemilang.

Kali ini, sejumlah 45 kontinjen negara bertanding dalam temasya pelbagai acara sukan kedua terbesar selepas Olimpik itu.

Persembahan bunga api pastinya dinanti-nanti pengunjung acara yang berada di stadium mahupun penonton yang mengikuti siaran langsung di seluruh dunia. - Bernama

Antara tarikan persembahan pada malam tersebut adalah kemunculan penyanyi terkenal Indonesia, Via Vallen menyanyikan lagu tema 'Meraih Bintang' sebelum upacara menaikkan bendera tuan rumah yang diberi nama 'Paskibra'.

Bendera tersebut merangkumi 70 orang, membentuk formasi khas tarikh kemerdekaan Indonesia, iaitu 17 Ogos 1945.

Stadium bergema sejurus kontinjen tuan rumah Indonesia memasuki stadium sebelum Tulus menyanyikan lagu kebangsaan Indonesia Raya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo seterusnya mengumumkan Sukan Asia 2018 dibuka secara rasmi dan bendera Asiad dikibarkan.

Tidak terhenti setakat itu, keterujaan disambung dengan persembahan tarian bertemakan pembentukan Indonesia, dan penampilan penyanyi seperti Putri Ayu dan Rini Wulandari.

Legenda badminton Indonesia, Susi Susanti yang merupakan pemenang dua pingat gangsa Sukan Asia, menjadi pembawa obor terakhir untuk menyalakan obor kawah di Stadium Gelora Bung Karno yang menyerupai sebuah gunung berapi sebelum persembahan bunga api menandakan bermulanya Sukan Asia tahun ini.

Obor utama dalam reka bentuk gunung berapi ini mengangkat keunikan identiti geografi Indonesia. - Bernama