Agak sukar untuk melihat bidang sukan menjadi subjek dalam sesebuah filem tempatan, namun Astro Shaw mengambil langkah berani dengan mengetengahkan kegemilangan bola sepak negara menerusi filem OlaBola.

Filem OlaBola yang dijangka ditayangkan kepada umum pada 28 Januari ini, merupakan sebuah filem yang mengangkat martabat bola sepak kebangsaan sekitar tahun 80-an, sekali gus menyuntik inspirasi kepada generasi hari ini tentang kehebatan skuad Harimau Malaya pada suatu ketika dahulu.

Ia merupakan buah tangan terbaharu daripada Astro Shaw yang menceritakan suka duka pasukan kebangsaan yang mengatasi segala rintangan demi mengharumkan nama Malaysia.

Ia merupakan salah satu bukti betapa pasukan Harimau Malaya cukup digeruni pada suatu ketika sehingga membawa kepada kejayaan menempah tiket ke Sukan Olimpik 1980. Kegemilangan itu terus menjadi buah mulut pencinta bola sepak dan menjadi penanda aras kepada prestasi skuad kebangsaan pada hari ini.

Menurut Pengarah Astro Shaw dan Produser Eksekutif filem OlaBola, Najwa Abu Bakar berkata, "OlaBola merupakan sebuah filem fiksyen tapi mendapat inspirasi daripada kisah benar, contohnya skuad Kelayakan Sukan Olimpik 1980."

Tambah Najwa lagi, peristiwa yang berlaku ketika itu telah diadaptasikan ke dalam konteks filem fiksyen tanpa menyekat kebebasan kreatif pengarahnya, Chiu Keng Guan.

"Harapan kami agar orang yang menonton Olabola akan mendapat inspirasi."

Filem yang dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee mengambil masa lebih setahun sebelum memulakan penggambarannya untuk menjalankan kajian dan temuramah.

"Kami berkesempatan dan juga bertuah untuk menemuramah personaliti seperti Datuk Chin Aun, Hassan Sani, James Wong dan ramai lagi. Setiap pelakon yang memainkan watak pemain berpeluang bertemu dengan pemain legenda untuk memahami lagi bukan sahaja pemain bola sepak.

"Dan saya itu memberi membantu dalam menjayakan watak mereka."