KETUA jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas, menganggap cuaca menjadi faktor prestasi kurang memuaskan yang ditonjolkan atlet pecut muda negara, Russel Alexander Nasir Taib, dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia 2019 pada Ahad.

Zainal sudah mempunyai perancangan buat atlet berusia 21 tahun itu menjelang Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan dengan memulakan latihan di Malaysia lebih awal untuk menyesuaikan dirinya.

Russel meraih pingat perak dalam acara 200 meter dengan catatan 21.12 saat dalam kejohanan edisi sulung itu berbanding catatan terbaiknya, 20.77s, saat yang dilakar dalam Kejohanan Trek Klasik Queensland, bulan lalu.

Apapun, Zainal berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan oleh barisan atletnya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hujung minggu lalu selepas Malaysia menghimpunkan lapan pingat emas, 15 perak dan 14 gangsa.

"Kita perlu ingat keadaan berlari di Malaysia adalah berbeza dengan di Australia.

"Dia baru tiba lima hari ini dan kami akan tengok situasinya sempena Sukan SEA Filipina.

"Mungkin kami akan menyerapnya bersama kem kebangsaan lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di Asia Tenggara," kata Zainal.

BACA: Olahraga GP Malaysia: Russel sumbang perak

Sementara itu, Russel kurang berpuas hati dengan catatan masa 200m yang dirakamkannya apabila hanya ketinggalan 0.12 saat di belakang wakil Taiwan, Tai Sheng Wei.

"Catatan masa yang saya lakukan agak baik, sudah tentu saya ingin melakukan yang lebih baik lagi.

"Apabila menyarung jersi negara, sudah tentu saya menginginkan pencapaian terbaik.

"Saya mengharapkan terus cergas dan dapat melakukan larian terbaik tetapi ia tidak berjalan seperti yang dirancangkan," kata Russel.