BEKAS penyerang Manchester United Ole Gunnar Solskjaer kini disebut-sebut sebagai pemangku pengurus kelab, susulan pemecatan Jose Mourinho.

The Red Devils dijangka melantik pemangku jawatan itu sebelum kelab berkenaan dijadual bertemu Cardiff 22 Disember ini.

Solskjaer, 45 tahun, beraksi dengan Man U antara 1996 dan 2007.

Dia telah berjaya menjaringkan 126 gol daripada 366 penampilan sepanjang 11 tahun di Old Trafford.

BACA: Pengurus Manchester United Jose Mourinho dipecat

Aksi paling diingati adalah jaringan kemenangan untuk Man U dalam Liga Juara-juara Eropah, ketika menentang Bayern Munich pada 1999.

Mourinho dipecat selepas berkhidmat selama dua tahun setengah gara-gara prestasi buruk kelab itu.

Sementara itu, beberapa nama dikatakan berpotensi dilantik sebagai pengurus tetap Manchester United, termasuk Mauricio Pochettino, Zinedine Zidane dan Diego Simeone.