Gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee bermula langkah kanan apabila meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama wanita pada Siri Dunia Terjun di Montreal, Kanada.

Pasangan negara mengumpul keseluruhan 297.66 mata, di belakang penerjun tuan rumah Meaghan Benfeito-Caeli McKay yang meraih pingat emas dengan 313.02 mata.

Pencapaian itu menjadi petanda awal bahawa penerjun negara sudah bersedia untuk memberi saingan sengit di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Julai nanti.

Pada aksi yang berlangsung di Olympic Park Sports Centre, gandingan Pandelela-Mun Yee mengungguli kedudukan mata dari terjunan pertama hingga ketiga dengan 162.96 mata terkumpul.

Namun, pasangan Kanada yang mengekori rapat, berjaya memintas kedudukan itu apabila mengutip 73.26 dan 76.80 mata masing-masing pada terjunan keempat dan kelima, membolehkan mereka meraih pingat emas.

Pingat gangsa acara itu dimenangi gandingan penerjun Rusia, Iuliia Timoshinina-Ekaterina Beliaeva yang mengumpul 288.06 mata.

Pandelela akan turun beraksi dalam acara 10m platfrom individu.

-- BERNAMA