BINTANG West Ham, Dimitri Payet 100 peratus akan kekal di kelab itu walaupun menjadi buruan beberapa kelab gergasi.

Pemain berusia 29 tahun itu dilaporkan menjadi sasaran Real Madrid selepas prestasi mantap yang dipamerkan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (BPL) musim lalu dan Perancis di Euro 2016.

Walau bagaimanapun, Payet yang mempunyai kontrak sehingga pertengahan 2021 berkata, dia tidak mempunyai perancangan untuk meninggalkan West Ham.

"Saya mendengar beberapa minat kelab lain dan saya berbesar hati," katanya kepada The Sun.

"Tetapi saya sayangkan West Ham. Kami mempunyai musim yang hebat dan saya tidak sabar untuk bermain di Stadium Olimpik.

"Saya 100 peratus akan kekal di West Ham. Saya sayangkan kelab ini. Saya mahu peminat Hammers mengetahuinya."

Payet menjaringkan sembilan gol dan membuat 12 bantuan gol dalam aksi BPL musim lalu sebelum menyerlah dalam Kejohanan Eropah yang menyaksikan Perancis muncul sebagai naib juara.