Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) masih menunggu surat sokongan daripada Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap rayuan kes doping jaguh bina badan negara, Sazali Samad.

Setiausahanya Kamaruzaman Kadir berkata Jawatankuasa Rayuan PBBM sudah bersidang dan telah meminta Sazali menghantar surat itu melalui majikannya.

"Sehingga hari ini saya tidak menerima surat sokongan lagi..kita pun nak selesaikan perkara ini secepat mungkin.

"Kita hanya mahukan sokongan daripada persatuan dan mahu persatuannya tahu apa yang terjadi... kita tidak mahu mereka dengar daripada surat khabar ataupun televisyen sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kamaruzaman berjanji seandainya bina badan dipilih dalam senarai acara di Sukan SEA 2017, mereka mampu menghadirkan dua pingat emas menerusi kategori bantam weight (60.1kg-65kg) dan welter weight (70.1kg-75kg).

"Namun untuk mencapai keputusan itu, semua atlet perlu berusaha lebih gigih dan diberi masa yang cukup untuk berlatih.

"Harapan kita agar jawatankuasa teknikal mempertimbangkan untuk menyenaraikan bina badan dalam Sukan SEA 2017," katanya.

PBBM akan menghantar surat rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selewat-lewatnya minggu hadapan, tambahnya.

BACA: Tiada sesiapa sudi bantu saya - Sazali Samad

BACA: Bagaimana masa depan bina badan Malaysia tanpa Sazali?

BACA: MSN nafi dakwaan tidak beri sokongan, Sazali mohon maaf