Pemain golf negara, Shaaban Hussin, 36, terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kota Damansara ke Shah Alam, awal pagi Khamis.

Adiknya Muhammad Akhir Hussin, ketika dihubungi Bernama berkata Shaaban yang menaiki motosikal berkuasa tinggi terbabas semasa cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi Lebuhraya Guthrie.

Juara Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016 itu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut selepas dipercayai mengalami kecederaan parah termasuk patah tangan dan kaki kiri.

Shaaban dipercayai dalam perjalanan ke Kelab Golf & Country Glenmarie di Shah Alam bagi menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Darul Aman PGM di Kedah, minggu hadapan.

Pencapaian terbaik yang diraih Shaaban pada musim ini adalah menduduki tempat kelima Kejohanan PGM CCM Rahman Putra di Kelab Rahman Putra, Sungai Buloh.