Pemilik juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City sedang memikirkan kemungkinan membeli sebuah pasukan bola sepak di Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perkara ini merupakan salah satu daripada dua perancangan yang telah dibincangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan delegasi Manchester City, yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ferran Soriano ketika kedua-dua pihak bertemu di Menara KBS, di sini pada Khamis.

Syed Saddiq berkata, dari perspektif KBS beliau berharap kerjasama itu juga akan dapat memberikan impak yang positif kepada pembangunan belia, melalui Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) dan juga Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang.

"Mesyuarat hari ini ialah untuk melihat bagaimana kita boleh bekerjasama secara dekat untuk membangunkan bola sepak secara bersama. Terdapat pelbagai perkara yang telah dibincangkan... sebagai contoh kemungkinan Manchester City (City Football Group) membeli salah sebuah kelab di Malaysia.

"Dari perspektif kementerian, kami juga mahu melihat kemungkinan kerjasama dalam pembangunan belia melalui NFDP dan AMD. Akan ada lawatan di masa hadapan untuk melihat bagaimana kita boleh mengerakkan usaha kerjasama ini," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

City Football Group ditubuhkan pada tahun 2014, dengan kelab pertama milik kumpulan itu ditubuhkan di New York.

Selain Manchester City, kumpulan itu juga memiliki dan mempunyai saham dalam New York City FC (Amerika Syarikat), Melbourne City (Australia) Yokohama F Marinos (Jepun), Atletico Torque (Uruguay) dan Girona FC (Sepanyol).

Mereka kemudiannya megembangkan lagi penguasaan dalam dunia bola sepak dan menambah pemilikan mereka kepada tujuh buah kelab, dengan membeli Suchuan Jiuniu yang menjadi kelab pertama milik mereka di China.

"Kami melihat Malaysia mempunyai peluang dalam bola sepak... tahap kegairahan peminatnya amat ketara. Pembangunan bola sepak Malaysia dan liganya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan pelaburan oleh kerajaan menunjukkan terdapatnya peluang yang besar.

"Kami mahu cuba melihat perkara yang boleh dibuat bersama rakyat Malaysia, dan keluarga bola sepak Malaysia. Bola sepak Malaysia akan membangun dengan hebat, pada dekat yang akan datang," kata Soriano.

Bagaimanapun, Sorianio tidak menamakan kelab yang mereka berminat untuk beli.

-- BERNAMA