Penalti daripada penyerang Tottenham Hotspurs, Harry Kane pada minit terakhir perlawanan memberi pasukannya satu mata di Anfield dalam pertemuan yang berakhir 2-2.

Liverpool mendahului bagi majoriti permainan namun selepas pemain pertahanan Virgil Van Dijk melanggar Erik Lamela, pengadil Jon Moss meniup wisel bagi memberi penalti kepada Spurs.

The Reds mendahului seawal minit ke-3 apabila penyerangnya Mohamad Salah menjaringkan gol selepas Eric Dier melakukan kesalahan.

Namun, Spurs kembali mengikat kedudukan selepas Victor Wanyama menyumbat masuk gol pada minit ke-80.

Dalam minit-minit terakhir yang penuh drama, penjaga gol Liverpool, Louis Karius berjaya menyelamatkan penalti pertama Kane sebelum Salah menjaringkan gol pada minit pertama masa kecederaan.

Walau bagaimanapun, kelebihan itu tidak kekal lama selepas Kane diberikan peluang dengan penalti kedua perlawanan untuk menyamakan kedudukan.

Keputusan tersebut mengekalkan Liverpool di tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris manakala Spurs berada di tempat kelima.