Sarawak mengalu-alukan penangguhan Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA 2020) yang dijadual berlangsung di Johor dari 11 hingga 19 Julai ini.

Keputusan dibuat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA berikutan kebimbangan terhadap penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Kementerian Belia dan Sukan Sarawak menerusi satu kenyataan bertarikh 27 Mac memaklumkan keputusan itu sudah dijangka.

Malah Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata langkah itu tepat bagi mengelakkan wabak itu terus merebak.

"Kami dimaklumkan mengenai keputusan ini semalam (26 Mac) selepas mesyuarat menerusi sidang video yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican," jelas Abdul Karim.

Beliau menambah tindakan itu selari keputusan Jepun dan Majlis Olimpik Antarabangsa IOC menangguhkan temasya Olimpik Tokyo ke tahun hadapan.

Kenyataan Belia dan Sukan Sarawak yang memaklumkan reaksi terhadap penangguhan SUKMA 2020

Pada Khamis, Reezal dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan menangguhkan temasya dwi tahunan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma menerusi sidang video.

Jawatankuasa tersebut juga bersetuju agar tarikh baharu Sukma Johor 2020 diputuskan pada mesyuarat yang akan datang iaitu selewat-lewatnya awal Mei depan.