PENGERUSI Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, mendedahkan dia menangis ketika memecat Carlo Ancelotti.

Pengurus berbangsa Itali itu dipecat oleh gergasi Bundesliga berkenaan pada September 2017 selepas kekalahan 0-3 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Ancelotti memimpin Bayern untuk meraih gelaran Bundesliga dalam musim pertamanya tetapi persembahan buruk di Eropah menjejaskan kredibilitinya.

Rummenigge ditugaskan untuk memaklumkan kepada bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu mengenai keputusan kelab untuk memecatnya, jadi ia terbukti menjadi pengalaman yang beremosi buat pengerusi itu.

"Pertama sekali, saya fikir Ancelotti adalah pengurus yang baik," kata bekas penyerang Jerman itu semalam.

"Malangnya, Bayern gagal pulih selepas satu setengah tahun dan Ancelotti tidak meraih keputusan yang diharapkan pada musim kedua.

"Begitupun, Ancelotti merupakan individu yang baik, sahabat baik saya dan dia sentiasa tenang. Saya pernah bekerja dengan ramai pengurus, masing-masing mempunyai kemahiran dan kebolehan yang berbeza tetapi hanya Ancelotti yang mempunyai keupayaan untuk selalu bersikap tenang, bahkan dalam tempoh yang sukar.

"Saya masih ingat lagi bahawa saya ditugaskan untuk memecatnya. Saya hampir menangis, Ancelotti memahami situasi itu, dia memeluk saya sambil berkata: 'Tidak mengapa, anda bukan bos saya lagi tetapi kita masih kawan.'

"Jadi, saya menangis kerana pada masa itu, saya tidak mengharapkan kata-kata daripadanya. Dia tidak kecewa. Saya menyedari bahawa dia seorang lelaki yang sangat baik."

Pengurus berusia 60 tahun itu kini mengemudi Napoli, yang menduduki tangga keempat Serie A setelah hanya menang sekali dalam empat perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Dia antara tiga pengurus di samping Bob Paisley dan Zinedine Zidane yang memenangi UCL atau Piala Eropah sebanyak tiga kali.