Setakat hari ini, penggiat e-sukan di Malaysia masih lagi belum menerima sebarang bantuan kewangan dan sokongan daripada pihak kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Bantuan itu sepatutnya digunakan bagi sesi kelayakan untuk mencari atlet sulung bagi mewakili negara bagi kategori sukan elektronik di Sukan SEA 2019 di Manila.

Menurut Presiden Persatuan e-Sukan Kuala Lumpur, Hisham Darus, segala bantuan kewangan bagi menjayakan penganjuran kelayakan Sukan SEA adalah hasil tajaan dan sumbangan pihak swasta.

"Segala bantuan kewangan bagi menjayakan penganjuran SEA Games Qualifier yang berakhir pada 4 Mei 2019 baru-baru ini adalah hasil inisiatif tajaan, sumbangan dan ihsan dari pihak-pihak swasta yang telah menyalurkan suntikan kewangan bagi menjayakan acara Grand Final," katanya dalam satu kenyataan media yang di muat naik melalui Facebook.

Tambahnya dalam kenyataan tersebut, persatuan e-sukan di peringkat negeri tidak mendapat satu garis panduan dan ketetapan masa yang khusus dari pihak kementerian dan Majlis Sukan Negara kerana tiada arahan yang jelas dalam bentuk 'hitam dan putih'.

Namun, pihaknya sedang sedaya upaya melaksanakan program yang diarahkan secara ‘verbal’ oleh pegawai yang bertanggungjawab ke atas kluster e-Sports.

Pihaknya juga telah melaksanakan sesi kelayakan di peringkat negeri tanpa sebarang elaun, makan dan minum kepada ahli jawatankuasa dan para peserta yang terlibat.