Penunggang Malaysia, Khairul Idham Pawi melakar sejarah buat Malaysia apabila memenangi kejuaraan pertama sepanjang kerjaya apabila menjuarai Moto3 saingan Grand Prix (GP) di Litar Termas de Rio Hondo, Argentina pada awal pagi Isnin (waktu Malaysia).

Khairul, 17 yang mewakili Honda muncul pelumba pertama negara menaiki podium kejuaraan motosikal dunia selepas mendominasi saingan perlumbaan tersebut.

Beliau menguasai perlumbaan di atas trek basah dengan kelebihan 26 saat, mengatasi rakan sepasukan Honda, Jorge Navarro dari Sepanyol dan pelumba Afrika Selatan mewakili pasukan KTM, Brad Binder.

Pelumba Honda Team Asia itu yang bermula di petak ketujuh, mempamer tunggangan bergaya apabila mendominasi saingan sejak awal perlumbaan.

Khairul Idham Pawi

Seorang lagi penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.

Khairul Idham yang beraksi buat kali ketiga dalam Moto3 teruja dengan kemenangan tidak dijangka itu.

"Saya gembira dan bersukur dengan keputusan ini dan teruja dengan kemenangan pertama ini. Saya tidak rasa tertekan. Saya mencuba yang terbaik untuk fokus dan mendahului perlumbaan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pelumba muda ini mencipta pusingan keempat terpantas dalam sesi kelayakan pada Sabtu tetapi turun ke tangga ketujuh dalam grid permulaan selepas menerima penalti kerana mengayuh perlahan dalam sesi latihan bebas pada Jumaat.

Kemenangan ini menyaksikan Khairul Idham memungut 25 poin untuk berada di tempat keempat sementara Adam kekal di tangga ke-19 dengan lima poin selepas leg kedua kejohanan.

Litar Amerika di Texas Tengah, Amerika Syarikat akan menjadi leg ketiga dari 8 hingga 10 April ini.

Kejayaan Khairul Idham sudah pasti menarik perhatian rakyat Malaysia.

Ramai yang merakamkan ucapan tahniah kepada pelumba muda berbakat besar ini di media sosial selepas berita kemenangannya diumumkan.

Antara yang terawal ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merakamkan ucapan penghargaan kepada Khairul Idham selepas berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia.


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga teruja dengan kemenangan ini apabila beliau merakamkan ucapan penghargaannya terhadap penunggang berbakat besar ini di Twitter.