Peluang penyerang Malaysia bawah 18 tahun (U18) Luqman Hakim Shamsuddin kini semakin cerah untuk beraksi di pentas Eropah.

Ia susulan kesediaan pemilik kelab England, Cardiff City, dan K.V. Kortrijk yang berpangkalan di Belgium, Tan Sri Vincent Tan untuk menyediakan peluang latihan kepada anak muda itu di dua kelab berkenaan.

Menurut Tan, Luqman Hakim, yang lahir dari Akademi Mokhtar Dahari di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan menjalani latihan di Cardiff City sehingga beliau mencapai umur 18 tahun, iaitu Mac tahun hadapan, sebelum menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab K.V. Kortrijk.

“Kita telah mengenal pasti bakat Luqman Hakim, selepas persembahan memberansangkan beliau dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sebelum ini, menjaringkan banyak gol, dan konsisten dalam menjaringkan gol.

“Jadi di bawah peraturan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa), kami tidak boleh mengambil pemain melainkan sudah berusia 18 tahun. Jadi Luqman Hakim akan berlatih di Cardiff dahulu, baru menyertai KVK, kelab Belgium yang dimiliki rakyat Malaysia,” katanya kepada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir di majlis bersejarah itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang turut teruja dengan perkembangan itu, khususnya kesannya ke atas bola sepak tanah air.

Five years, memang pelaburan jangka panjang, ia tak akan dibuat, jika tak wujud keyakinan. Prestasinya, hatinya di tempat yang betul, paling kuat bekerja, Saya rasa apa pun rintangan, dia akan berjaya pecahkan tembok tersebut,” kata Syed Saddiq

Sementara itu, Luqman Hakim berkata, beliau sedar mengenai tekanan yang bakal dihadapi, khususnya harapan yang menggunung rakyat Malaysia ke atas pemain pelapis skuad kebangsaan.

“Pertama, saya berharap agar rakyat Malaysia berdoa terbaik untuk saya. Tapi saya berjanji saya akan buat terbaik memang cita-cita saya bermain di luar negara. Dah terhidang di depan mata, saya akan pegang dan simpan. Ini buat kedua dua ibu bapa saya,” kata anak muda itu lagi.