PEMAIN tenis terkemuka Serbia, Novak Djokovic, mengingatkan semua agar sentiasa berhubung dan selalu dekat dengan insan yang tersayang.

Dalam ucapannya selepas meraih kemenangan dalam perlawanan akhir Terbuka Australia menentang Dominic Thiem, Djokovic menyifatkan permulaan tahun 2020 merupakan permulaan tahun yang dahsyat dan mencabar.

Malah, beliau juga turut mengenang persahabatannya bersama legenda bola keranjang Amerika Syarikat, mendiang Kobe Bryant yang maut dalam kemalangan helikopter bersama anak perempuannya pada Ahad lepas.

“Banyak perkara yang dahsyat berlaku di awal tahun 2020 seperti kebakaran belukar di Australia dan beberapa konflik di seluruh dunia yang turut menyebabkan banyak nyawa terkorban setiap hari.

“Semestinya, individu yang saya anggap sebagai sahabat dan mentor saya, Kobe Bryant, turut meninggal dunia bersama-sama anak perempuannya.

“Oleh itu, saya ingin mengingatkan bahawa ini adalah petanda kepada kita agar sentiasa dekat antara satu sama lain,” ujar Djokovic dengan nada sedih.

Tambah Djokovic, semua perlu sentiasa berkomunikasi dengan keluarga dan insan yang mereka sayangi.

“Pastikan anda sentiasa bersama keluarga, sentiasa rapat dengan insan yang tersayang serta orang yang sangat mengambil berat tentang kamu.

“Sebagai atlet profesional, kita bertanding dan cuba sehabis baik untuk meraih kemenangan namun, masih ada perkara yang lebih penting di dalam hidup ini yang perlu kita sedari dan kita perlu merendah diri dengan semua yang berlaku di sekeliling kita,” pesannya.

Pada Selasa lalu, Djokovic turut mengenang pemergian Bryant dalam ucapan kemenangan suku akhir menentang Milos Raoni.

Djokovic memuji mendiang dengan menyifatkan Bryant sebagai “seorang atlet paling hebat sepanjang zaman”.

Malah, beliau turut mengenakan jaket berwarna hijau dengan tertera huruf ‘KB’ serta nombor jersi pemain legenda itu.

Beberapa minggu lalu, Bryant maut dalam nahas udara di California apabila helikopter yang dinaikinya terbakar dan terhempas di bandar Calabasas.

Nahas turut mengorbankan lapan penumpang lain termasuk anak Bryant, Gianna Maria Onore, 13, yang dikenali sebagai GiGi.