Penentuan dua pasukan dari Kumpulan B yang layak untuk ke peringkat pusingan kedua Piala Dunia 2014 telah pun ditentukan sehabis perlawanan antara Sepanyol dan Chile pada 19 Jun lalu.

Belanda dan Chile merupakan dua pasukan awal yang telah menempah dua slot antara 16 pasukan terbaik untuk layak ke pusingan kedua kejohanan Piala Dunia.

Namun, pengakhiran bagi perlawanan pada awal pagi ini antara Belanda dan Chile adalah untuk menentukan siapa juara kumpulan dan sekaligus dapat mengelakkan dari bertemu Brazil di pusingan kedua nanti.

Dalam kertas, Belanda dilihat lebih mempunyai kelebihan untuk memenangi perlawanan ini atau setidak-tidaknya mengikat perlawanan menjadi seri namun Chile yang akan menurunkan ayam tambatannya, Alexis Sanchez dan Arturo Vidal pasti akan dapat mengucar-kacirkan pertahanan Belanda.

Penggantungan penyerang Belanda, Robin van Persie akibat mengutip dua kad kuning pada dua perlawanan terdahulu pasti akan dirasai oleh kem Belanda dan tugas itu akan digalas oleh seorang lagi penyerang berbisa Belanda iaitu Klaas-Jan Huntelaar.

Malah, gerakan Huntelaar juga akan dibantu oleh tulang belakang Belanda iaitu Arjen Robben dan Wesley Sneijder yang sebelum ini banyak membantu gerakan Robin van Persie di samping mencipta peluang jaringan untuk diri mereka juga.

Selain perlawanan Belanda dan Chile, dua lagi pasukan dalam Kumpulan B iaitu Australia dan Sepanyol yang sudah pun tersingkir akan berentap untuk mengakhiri jadual perlawanan.

Namun, meski sudah tersingkir dari perebutan tempat 16 pasukan terbaik untuk lolos ke pusingan kedua, Australia dan Sepanyol mempunyai misi untuk tidak pulang tanpa sebarang mata.

Sepanyol sebagai bekas juara dunia edisi tahun 2010 sudah tentu ingin melupakan episod sedih yang berlaku pada temasya Piala Dunia kali ini dan perbalahan antara pemain tengah, Cesc Fabregas dengan pengendali pasukan, Vicente del Bosque diharap tidak menggangu suasana pasukan yang dikatakan akan dibubarkan dan ‘dibersihkan’ semula selepas piala dunia ini.

Wakil Asia, Australia pula akan berharap penyerang veteran, Tim Cahill mampu memberikan aksi terbaik yang telah ditampilkan oleh beliau pada dua perlawanan terdahulu menetang Chile dan Belanda.

RAMALAN ASTRO AWANI: Belanda..2 Chile..2, Australia..1 Sepanyol..2