Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) akan menghantar aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam tempoh terdekat berhubung kegagalan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melunaskan tunggakan gaji pemain skuad Singa Utara pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail berkata perkara berkenaan dicapai hasil pertemuan PFAM bersama 15 pemain skuad Singa Utara, baru-baru ini selepas pengurusan PFA dikatakan membisu berhubung isu berkenaan.

"Tunggakan gaji berkenaan turut melibatkan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Kita agak kecewa dengan kegagalan PFA dalam menjaga kebajikan pemain dan saya akan membawa perkara ini kepada FAM supaya tindakan tegas dapat diambil kerana ini melibatkan mata pencarian pemain," katanya kepada Bernama, hari ini.

Untuk rekod, Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini mengambil keputusan sebulat suara membatalkan penyertaan Perlis dalam saingan Liga Malaysia musim ini selepas mendapati pasukan itu tidak memiliki jaminan kukuh dari segi kewangan bagi terus bertahan musim ini.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan bahawa PFAM masih menunggu maklum balas PFA berhubung kegagalan mereka untuk melunaskan tunggakan gaji pemain Perlis yang beraksi pada musim 2018, walaupun FAM telah mengeluarkan surat rasmi kepada PFA untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Ditanya mengenai kes tunggakan gaji melibatkan pemain kelab Liga M3, Batu Dua FC, Izham menjelaskan pihaknya masih menunggu beberapa maklumat lengkap daripada pemain pasukan berkenaan sebelum membuat laporan rasmi kepada FAM.

Media hari ini melaporkan tiga pemain Batu Dua FC mengambil keputusan tidak mengikuti pasukan amatur berkenaan ke Terengganu untuk aksi Liga M3 menentang Kuching FA, semalam susulan kegagalan pengurusan pasukan berkenaan melunaskan tunggakan gaji pemain selama tiga bulan.

-- BERNAMA