Tutup

Berita  | Sukan

Piala Dunia 2022: FIFA tolak rancangan 48 pasukan

Piala Dunia 2022: FIFA tolak rancangan 48 pasukan
FIFA mengesahkan bahawa ia memerlukan tempoh lebih lama untuk mengkaji semula pertambahan jumlah pasukan untuk Piala Dunia. - Gambar fail.
PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah membatalkan perancangan untuk menambah jumlah kepada 48 pasukan bagi saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.

Badan bola sepak itu menjelaskan sudah tiada masa untuk mempertimbangkan cadangan pertambahan pasukan dalam kejohanan itu akibat faktor logistik.
Idea itu dipertahankan oleh presiden, Gianni Infantino, yang mencadangkan agar beberapa negara jiran bakal terlibat dalam penganjuran perlawanan tambahan setelah mendakwa sukar untuk Qatar menjalankan kesemua aksi yang berlangsung secara individu.

Namun, dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, FIFA mengesahkan bahawa ia memerlukan tempoh lebih lama untuk mengkaji semula pertambahan jumlah pasukan dan keputusan akan dilakukan pada bulan depan.
FIFA juga menegaskan bahawa pusingan akhir Piala Dunia 2022 akan kekal kepada format 32 pasukan seperti edisi sebelum ini.

"Selaras dengan kata putus yang diluluskan oleh Majlis Tertinggi FIFA dalam mesyuarat terakhirnya, FIFA dan Qatar telah mengenal pasti semua kemungkinan untuk meningkatkan jumlah pasukan peserta daripada 32 hingga 48 pasukan dengan melibatkan negara-negara jiran dalam Piala Dunia FIFA Qatar 2022," kata wakil FIFA.

"Susulan proses rundingan yang menyeluruh dan komprehensif dengan penglibatan semua pihak berkepentingan yang berkaitan, keputusan dibuat bahawa buat masa ini, cadangan itu tidak dapat dibuat sekarang.

"Selain itu, FIFA dan Qatar sekali lagi akan mengkaji kemungkinan Qatar menganjurkan kejohanan 48 pasukan dengan secara khususnya mengurangkan keperluan utama FIFA.

"Analisis yang dilakukan secara bersama mendapati bahawa susulan persediaan yang lebih pantas dan keperluan untuk melihat kesan logistik kepada tuan rumah, tempoh masa lebih lama diperlukan dan keputusan tidak dapat dibuat sebelum tarikh akhir Jun depan.

"Piala Dunia Qatar 2022 akan kekal dengan cadangan asal 32 pasukan dan tiada idea baru akan dikemukakan dalam Kongres FIFA seterusnya pada 5 Jun ini."

Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro