Berita  | Sukan

Piala Dunia Kelab: Masalah paha jejas Wijnaldum

Piala Dunia Kelab: Masalah paha jejas Wijnaldum
Georginio Wijnaldum menerima rawatan selepas mengalami kecederaan semasa perlawanan EPL antara Liverpool dan Watford di Anfield, Liverpool, Britain, 14 Dis, 2019. REUTERS
JURGEN Klopp berkata ia satu "satu tamparan besar” buat Liverpool selepas sah hilang khidmat Georginio Wijnaldum bagi mengharungi Kejohanan Piala Dunia Kelab ekoran kecederaan hamstring yang menimpanya ketika berdepan Watford, malam tadi.

Wijnaldum meninggalkan padang selepas sempat beraksi sejam dalam kemenangan 2-0 Liverpool di Anfield untuk terus mencengkam pendahuluan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Klopp berkata bahawa kecederaan merupakan kegusaran utamanya kerana pasukannya mahu mengekalkan kedudukan mereka di puncak liga sambil akan berkunjung ke Qatar.

"Kami bagaikan kehilangan seorang pemain dalam setiap permainan dan ia situasi yang tidak begitu menyenangkan," kata Klopp kepada BT Sport.

"Itulah masalah utama kami.

"Inilah jadual yang kami hadapi, kami menyedarinya tetapi kehilangan seorang pemain dalam situasi seperti ini adalah tidak seronok. Kami akan menanganinya tetapi ia tidak menjadikan kehidupan lebih mudah buat kami."

Ditanya sama ada Wijnaldum berpeluang untuk ke Qatar pada hari ini di samping skuad itu, Klopp berkata: "Saya tidak tahu. Hari ini kami akan membuat penilaian dan memutuskannya.

"Jika dia tidak boleh berlatih dan terpaksa menjalani pemulihan, maka dia akan kekal di sini dan pada masa ini, senarionya kelihatan menjurus ke arah itu."

Walaupun perlu menghadapi masalah kecederaan yang melanda Joel Matip, Dejan Lovren dan Fabinho, pengurus berbangsa Jerman berkenaan menolak cadangan bahawa kelesuan mungkin menjadi masalah bagi Liverpool.

The Reds tampak kurang bermaya ketika menghadapi Watford dan hanya penyudah tumpul menghalang The Hornets daripada memecah kebuntuan dalam babak pertama.

Begitupun, Klopp tetap memuji tindak balas serta prestasi, penjaga gol, Alisson, dengan berkata: "Perkara paling penting yang perlu anda pamerkan dalam tempoh ini pada musim ini adalah daya tahan. Pemain saya sudah bersedia untuk perjuangan pada saat-saat getir ini.

"Mereka (Watford) merombak pasukan dan beraksi dengan amat baik. Mereka mencipta peluang.

"Bolehkah permainan ini menjadi lebih mudah buat kami? Sudah tentu, jika kami lebih bijak ketika menyimpan bola dan membuat hantaran di sekeliling.

"Pemain saya bukannya keletihan tetapi bersungguh-sungguh untuk mengekalkan penguasaan permainan. Sesekali kami perlu bertahan dengan semangat, bukannya dengan teratur kerana tidak selamanya ia sempurna, tetapi apabila kami membenarkannya, kami ada Ali (Alisson) di kedudukan itu."





Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro