Berita  | Sukan

Piala Dunia Wanita: Amerika Syarikat pertahan gelaran

Piala Dunia Wanita: Amerika Syarikat pertahan gelaran
Amerika Syarikat menjadi negara pertama memenangi empat gelaran dunia. - Foto AP
AMERIKA SYARIKAT (AS) mempertahankan gelaran Piala Dunia Wanita FIFA selepas menewaskan Belanda 2-0 di Lyon, Perancis pada Ahad.

Penalti Megan Rapinoe dan rembatan Rose Lavelle pada babak kedua memastikan AS mencipta sejarah sebagai negara pertama yang memenangi empat gelaran Piala Dunia Wanita, selepas muncul juara pada 1991, 1999, 2015 dan 2019.

AS menguasai permainan dalam babak pertama namun penjaga gol Belanda, Sari van Veenendaal memastikan kedudukan kekal 0-0 sehingga babak pertama tamat dengan menafikan beberapa percubaan pasukan lawan.

Penguasaan berterusan di babak kedua dan skuad bimbingan Jill Ellis tersebut mendapat sepakan penalti selepas Stefanie van der Gragt melakukan faul ke atas Alex Morgan.

Pengadil perlawanan menghadiahkan penalti tersebut selepas merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Rapinoe tidak mempunyai masalah untuk meletakkan AS di depan dengan menewaskan Van Veenendaal pada minit ke-61.


Permainan menjadi lebih terbuka selepas gol pertama dijaringkan, membolehkan AS melancarkan banyak serangan berbahaya.

Pemain Belanda, Vivianne Miedema terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan selepas gagal melepaskan tendangan dalam kotak penalti AS, walaupun berjaya menggelecek beberapa pemain AS.



Kegagalan itu dihukum Lavelle yang menggandakan jaringan Amerika menerusi satu serangan balas yang menyaksikan pemain Washington Spirit itu membuat satu larian sebelum melepaskan rembatan yang menewaskan Van Veenendaal.

Van Veenendaal bagaimanapun menafikan pesta gol AS pada perlawanan itu dengan menyelamatkan peluang yang diperoleh Morgan dan Crystal Dunn dalam kotak penalti. 



Dengan kemenangan itu, AS menjadi negara kedua berjaya mempertahankan gelaran Piala Dunia Wanita FIFA selepas Jerman melakukannya pada 2003 dan 2007.

Ini juga kali pertama AS memenangi Piala Dunia di benua Eropah.

Rapinoe yang menjaringkan enam gol pada edisi kali ini memenangi kasut emas walaupun berkongsi jumlah jaringan yang sama dengan Morgan kerana dia melakukannya dalam tempoh permainan yang lebih sedikit berbanding rakan sepasukannya itu.

Sementara itu, Van Veenendaal yang menyelamatkan lapan percubaan AS, memenangi gelaran penjaga gol terbaik kejohanan manakala tuan rumah, Perancis memenangi anugerah ‘fair-play’.

Tag: Piala Dunia Wanita 2019, Amerika Syarikat, Belanda, Megan Rapinoe, Rose Lavelle, Jill Ellis, Sari van Veenendaal, Alex Morgan, Stefanie van der Gragt, VAR


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.