BELANDA dan Itali akan bertembung dalam suku akhir Piala Dunia Wanita FIFA 2019 manakala China dan finalis 2015, Jepun, terkandas dalam pusingan 16.

China tumbang 0-2 kepada Azzurre sebelum Belanda melakar kemenangan 2-1 susulan penalti pada penghujung perlawanan dan ini bermakna tujuh wakil Eropah mara ke suku akhir.

Lieke Martens meledak dua gol ketika Belanda sekali gus menebus kekalahan mereka kepada Jepun dengan keputusan yang sama dalam pusingan 16 di Kanada, empat tahun lalu.

Martens membuka jaringan dengan tolakan tumit sebelum Jepun menyamakan kedudukan melalui Yui Hasegawa selain dua percubaan mereka menggegar tiang.



Ketua pasukan Jepun, Saki Kumagai, menafikan rembatan Vivianne Miedema dengan lengan dan pengadil, Melissa Borjas, secara kontroversi menghadiahkan sepakan penalti.

Martens tidak melakukan kesilapan dari jarak 11 meter itu untuk gol keenamnya ke atas Jepun sekali gus mengangkatnya selaku penjaring terbanyak skuad Belanda dalam Piala Dunia Wanita.

Juara bertahan, Amerika Syarikat (AS), merupakan satu-satunya wakil dari luar Eropah dalam suku akhir dan akan bertemu tuan rumah, Perancis, sambil Norway akan berhitung dengan England, bermula Jumaat ini.

Sementara itu, Itali terlebih dahulu mengesahkan kemaraan dengan menyingkirkan China 2-0.

Valentina Giacinti memberikan kelebihan awal kepada skuad kendalian Milena Bertolini itu sebelum Aurora Galli menggegar jaring dari jarak 18 meter dalam babak kedua, yang juga gol ketiganya dalam kejohanan itu walaupun memainkan peranan sebagai pemain gantian.



Li Ying dan Wang Shanshan mempunyai dua peluang menarik pada penghujung perlawanan di Stade de la Mosson, Montpellier itu, namun tiada satu pun menemui sasaran.

Itali layak ke suku akhir buat kali pertama sejak 1991 dan akan berdepan Belanda, Sabtu ini.