Tutup

Berita  | Sukan

Piala Malaysia: Sanggup 'berkhemah' di stadium demi tiket final

Piala Malaysia: Sanggup 'berkhemah' di stadium demi tiket final
Sebahagian daripada penyokong Kedah yang membuat keputusan untuk tidur di hadapan kaunter tiket malam tadi. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Walaupun keadaan cuaca tidak menentu di negeri ini ketika ini, sekumpulan penyokong skuad bola sepak Kedah sanggup melakukan "kerja gila" dengan mengambil keputusan untuk tidur di perkarangan Stadium Darul Aman.

Ia tidak lain tidak bukan semata-mata kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 antara Kedah FA dan Johor Darul Takzim (JDT) FC yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar perkarangan stadium lewat malam tadi mendapati lebih 50 penyokong Kedah telah berkumpul, dipercayai sejak jam 8 malam tadi, walaupun hujan turun dengan lebat terutama di daerah Kota Setar lewat petang semalam.

Menurut mereka, perasaan risau terlepas tiket perlawanan akhir, selain tidak mahu berebut-rebut, menyebabkan mereka membuat keputusan untuk tidur di hadapan kaunter tiket walaupun waktu jualan adalah pada jam 10.30 pagi hari ini.
BACA: 'Ibu bingung nak pilih Aidil atau Zaquan'

BACA: Harimau Selatan, Lang Merah tentukan kejuaraan Piala Malaysia

Antara penyokong yang ditemui ialah Mohd Rauyani Lazim, 38 tahun, yang mengakui menjadi satu kewajipan untuknya tidur di stadium setiap kali Kedah memasuki final.

"Tiap kali perlawanan akhir, memang akan tidur di stadium, yang penting dapat tiket. Kalau separuh akhir pun, kadang-kadang kita tidur (stadium) juga, sebab takut tiket habis. Tetapi yang wajib (tidur stadium), apabila Kedah masuk final.

"Kami akan datang ke sini, tempat kita duduk ini. Kami sanggup beli ubat nyamuk, pasang empat penjuru, bagi nyamuk lari. Saya datang malam supaya senang dapat tiket. Kalau esok, tak tentu lagi, silap-silap kena beratur panjang sampai ke belakang," katanya. 



Sementara itu, Khairudin Ariffin, 36 tahun, berkata, dia membuat keputusan untuk bermalam di perkarangan stadium kerana bimbang tiket habis awal hari ini.

"Takut ramai yang datang, tak sempat beli tiket. Kami datang dari jauh, Kuala Ketil. Sebab itulah kami datang awal," katanya sambil menyatakan harapan Kedah akan menang Sabtu ini.

Mohd Muhaimin Abd Hamid, 20 tahun, pula berkata, dia bersama empat orang lagi datang ke Stadium Darul Aman dari Gurun.

"Apabila kami dapat tahu Kedah masuk final, kami terus rancang untuk datang sini beli tiket. Kami bertolak dari Gurun pukul 10 malam tadi. Ini tahun pertama (tidur stadium), sebelum ini kami beli tiket ikut trip (rombongan)," katanya. 

BACA: Kedah dan Johor terima 31,610 tiket final Piala Malaysia

BACA: Kedah tagih formula Aidil Sharin untuk final Piala Malaysia

BACA: Piala Malaysia: Kedah mahu tebus kekecewaan final 2017

Pasukan Kedah layak ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan Pahang di peringkat separuh akhir walaupun terikat dengan agregat 8-8, manakala skuad JDT menang mudah mengatasi Selangor dengan agregat 5-1.

Bagi musim 2019, skuad Helang Merah telah membawa pulang satu piala iaitu Piala FA selepas menumpaskan Perak 1-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Julai lalu.