JURGEN KLOPP mempersoalkan label pasukan pilihan yang diberikan kepada Liverpool sambil memberi amaran bahawa pasukannya perlu menampilkan aksi terbaik untuk mengalahkan Chelsea.

Juara Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu itu akan menghadapi seteru domestik, Chelsea, selaku Liga Europa di Istanbul, Turki, awal pagi esok dengan Piala Super UEFA menjadi taruhan.

Liverpool memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) mereka dengan kemenangan 4-1 ke atas Norwich City di Anfield sementara Chelsea mengalami kekalahan 0-4 kepada Manchester United dalam aksi pertama kendalian Frank Lampard.

Walaupun meraih keputusan berbeza hujung minggu lalu, Klopp tetap menjangkakan ujian sukar ketika menentang skuad kendalian Lampard itu.

"Mereka tahu apa yang mereka lakukan dalam permainan," katanya kepada laman sesawang rasmi Liverpool. "Ini satu perlawanan bola sepak, ia fleksibel, mereka mempunyai formasi yang berbeza dan saya menggemari aksi mereka tetapi mereka tewas 0-4, itulah pengajaran yang sangat sukar ditelan.

"United cukup klinikal dan itulah cara bola sepaknya tetapi sudah tentu kami tidak akan memandang rendah keupayaan Chelsea biarpun mereka dibelasah Manchester United.

"Hakikatnya, perlawanan itu menunjukkan hal sebaliknya, terutama dalam tempoh 60 minit pertama yang menyaksikan mereka benar-benar beraksi dengan baik.

"Mereka sebuah pasukan yang bagus dan kami menggunakan tiga perlawanan untuk cuba mendapatkan kesimpulan yang tepat dan melakukan pendekatan yang tepat dalam pertembungan ini.

"Setiap orang telah bersedia untuk merebut gelaran pertama. Mereka 100 peratus sudah bersedia dan kami juga harus mengabaikan apa yang diperkatakan semua orang mengenai kami sebelum perlawanan ini," tambahnya.

Liverpool menempuhi kempen pra-musim yang buruk ekoran kehilangan beberapa pemain utama yang diberikan cuti tambahan atas komitmen antarabangsa, dengan penggempur Senegal, Sadio Mane, baru kembali melaporkan diri minggu lalu.

Begitupun, Klopp gembira dengan tahap kecergasan pasukannya selepas menundukkan Norwich hujung minggu lalu, lima hari selepas kekalahan kepada Manchester City menerusi penentuan penalti untuk terlepas trofi Perisai Komuniti selepas aksi 90 minit berakhir seri 1-1.

Bercakap dalam sidang media praperlawanan malam tadi, pengurus Jerman itu berkata: "Ia adalah pramusim yang sukar, jadi anda tidak tahu bagaimana kami akan beraksi dalam perlawanan pertama tetapi saya sangat gembira dengan persembahan menentang City.

"Perkara yang penting ialah babak kedua, ia satu petanda bahawa kami hampir bersedia. Secara fizikalnya, kami telah mencapainya seperti yang dihajati. Kami belum di tahap 100 peratus tetapi semua kelab juga begitu.

"Esok, segala-galanya akan berbeza, kami perlu bersedia untuk perlawanan itu dan saya perlu membuat beberapa keputusan mengenai kesebelasan utama. Sukar untuk meramalkannya memandangkan kami tidak tahu bagaimana pendekatan Chelsea."

Kemenangan ke atas Tottenham dalam final UCL, Jun lalu meredakan kekecewaan mereka yang kempunan gelaran liga.

The Reds mengakhiri kempen dengan satu mata di belakang Manchester City dan sekali dijangka menjadi pencabar utama tetapi Klopp enggan fokus kepada satu pertandingan sahaja.

"Malangnya, saya tidak cukup bagus untuk membuat keputusan itu," katanya."Kami perlu merebut segala gelaran.

"Tahun lalu, kami memenangi UCL dan gagal meraih kejayaan liga. Kami hanya cuba memenangi perlawanan yang akan datang dan itulah yang akan terjadi malam esok.

"Saya bukan seorang yang genius. Jadi, saya perlu dapatkan apa yang termampu tetapi keputusan itu bukan di tangan saya."