Berita  | Sukan

PM ucap tahniah kejayaan atlet para pecah rekod dunia

PM ucap tahniah kejayaan atlet para pecah rekod dunia
Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada dua jaguh negara, Mohamad Ridzuan Puzi (kiri) dan Abdul Latif Romly (kanan) di atas kejayaan mereka mencipta rekod dunia. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada dua jaguh negara, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly di atas kejayaan mereka mencipta rekod dunia dalam acara masing-masing di Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, hari ini.

"Semoga atlet para kita menemui lebih banyak kejayaan selepas ini #KamiLuarBiasa #MalaysiaBoleh," kata Perdana Menteri menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau, malam ini.
Mohamad Ridzuan mencatat masa 11.87 saat (s) dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada 2013.

Abdul Latif pula mempamerkan aksi memukau dengan memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) dengan melakukan lompatan sejauh 7.64 meter (m), memadam rekod terdahulu, 7.60m yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.

Dalam pada itu kontinjen negara, menamatkan saingan hari kelima dengan mengumpul dua pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan emas, 12 perak dan 17 gangsa untuk menduduki tangga kelapan.

China mengungguli carta kedudukan pingat dengan merangkul 104 emas, 50 perak dan 39 pingat gangsa.

-- BERNAMA