announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

Pogba dijangka kekal di United, kata Solskjaer

Pogba dijangka kekal di United, kata Solskjaer
Pogba hanya tampil dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas disisihkan akibat kecederaan buku lali sejak Disember lalu. - Gambar fail
OLE Gunnar Solskjaer berkata dia menjangkakan Paul Pogba akan kekal selaku pemain Manchester United, musim depan.

Pogba hanya tampil dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas disisihkan akibat kecederaan buku lali sejak Disember lalu.

Namun, ketiadaan pemain tengah itu tidak dirasai kebelakangan ini tatkala United melanjutkan catatan 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan, menewaskan LASK 5-0 dalam pusingan 16 Liga Europa, awal pagi tadi.

Walaupun isu kecederaan dan prestasi tidak konsisten menimbulkan persoalan masa depan Pogba, Solskjaer yakin bintang Perancis itu akan kekal sebagai pemain United.

Selepas kemenangan ke atas LASK, pengurus The Red Devils itu menegaskan bekas tonggak Juventus itu berkemungkinan besar kekal di Old Trafford bagi musim 2020-21.

"Pogba adalah pemain kami. Dia memiliki baki dua tahun dalam kontrak serta setahun tambahan pilihan," katanya.

"Anda boleh jangkakan Pogba kekal di sini musim depan."

Tatkala Pogba masih berusaha untuk mengembalikan kecergasan, United kini selangkah ke suku akhir Liga Europa selepas aksi memukau dalam stadium tertutup di Linz.

Odion Ighalo, Daniel James, Juan Mata, Mason Greenwood dan Andreas Pereira masing-masing meletakkan nama dalam senarai penjaring dan Solskjaer teruja dengan persembahan anak buahnya.

"Saya fikir sepanjang 90 minit pemain beraksi cemerlang," tambahnya.

"Kami melakukan beberapa pertukaran hari ini dan ada sebilangan pemain yang meraih peluang, meletakkan tekanan kepada mereka yang sering beraksi sebelum ini.

"Ia hebat tetapi kami harus meneruskannya. Kami berdepan aksi besar Ahad ini, menentang Tottenham Hotspur, dan itu faktor kami membuat pertukaran. Diharapkan, kami sedia."

Ditanya jika dia mampu menggembirakan pemain walaupun tidak disenaraikan dalam pasukan, Solskjaer berkata: "Ia sebahagian daripada United. Anda tidak beraksi dalam setiap perlawanan tetapi gembira akhirnya jika memenangi trofi. Ia bukan sekadar tentang beraksi tetapi kemenangan.

"Ia tentang membantu pasukan. Jika anda beraksi 60, 70, 80 atau 10 minit, anda patut bangga dan gembira apabila turun bermain."





Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro