Skuad polo air lelaki negara meraih kemenangan sulung dalam kempen Sukan SEA Kke-29 selepas menewaskan Filipina 8-7 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pada satu ketika, Malaysia mendahului 4-1, bagaimanapun, mereka membenarkan lawan mengekori rapat sekali gus menjadikan perlawanan berlangsung sengit.

Fam Jia Yi muncul penjaring terbanyak buat Malaysia dengan tiga gol, selain dua gol daripada Tan Yi Xun dan satu gol masing-masing menerusi Toh Yi Xiang, Mohd Irshad Syahir dan Soh Yong Wee.

Sementara itu, Filipina memperoleh gol menerusi empat jaringan Mummar Alamara, serta dua daripada Teodoro Roy Canete dan satu daripada Reynaldo Salonga J.

Dalam aksi pembukaan semalam, skuad lelaki yang dibimbing Voon Yong Hui itu tewas tipis 4-3 di tangan Indonesia, sementara pasukan wanita dibelasah teruk 22-2 oleh Thailand.

Kali terakhir wakil Malaysia meraih pingat dalam polo air ialah menerusi pasukan wanita dalam Sukan SEA Indonesia 2011 yang membawa pulang gangsa.

Bagi pasukan lelaki pula, kali terakhir mereka menjejakkan kaki di atas podium ialah pada edisi 2005 di Manila, juga dengan kilauan gangsa.

Untuk rekod, Malaysia belum pernah memenangi emas dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita sejak acara polo air diperkenalkan pada edisi 1965 di Kuala Lumpur.