Bertemu Amerika Syarikat bakal menjadi misi ‘Do-or-Die’ buat Portugal dalam usaha mereka untuk terus kekal bersaing dalam perebutan ke tempat 16 pasukan terbaik.

Portugal yang dimalukan 0-4 oleh satu lagi gergasi Eropah, Jerman pada perlawanan pembukaan Kumpulan G pada Selasa lalu akan sedaya upaya memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perebutan ke pusingan seterusnya.

Namun, apa yang memeningkan kepala ialah ancaman kecederaan yang dialami oleh tonggak utama pasukan itu, Cristiano Ronaldo yang dikatakan bergelut dengan kecederaan buku lali.

Di samping itu juga, kecederaan ‘hamstring’ pertahanan Fabio Coentrao dan penggantungan perlawanan kepada Pepe menambahkan lagi krisis kepada Portugal dimana Andre Almeida dan Luis Neto dijnagka akan diturunkan mengganti mereka.

Amerika Syarikat pula yang mengejutkan Ghana dengan jaringa 2-1 pada perlawanan pembukaan pada 17 Jun lalu sudah pasti mahu melengkapkan kemenangan untuk layak ke peringkat seterusnya kerana kegagalan mereka pada perlawanan awal pagi ini hanya akan menyusahkan misi mereka untuk mencari kemenangan terutama apabila mereka akan berhadapan dengan Jerman pada perlawanan terakhir kumpulan.

Clint Dempsey yang mencipta sejarah menjaringkan gol terpantas Piala Dunia kali ini selepas 30 saat sepak mula dilakukan sekali lagi akan dipertanggungjawabkan menerajui barisan serangan yang bakal merobek pertahanan Portugal.

Bagi perlawanan Kumpulan H pula, Belgium dilihat sebagai pilihan untuk meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu Rusia.

Marouane Fellaini yang menjaringkan gol pertama ketika menetang Algeria dijangka akan diturunkan dalam kesebelasan utama manakala penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev pasti mahu melupakan kesilapannya ketika tangkapan tidak kemasnya menyebabkan Korea Selatan mendapat gol dan pasukannya hampir tewas.

Cabaran Asia diteruskan oleh Korea Selatan yang akan bertemu satu lagi wakil Afrika, Algeria dan Korea Selatan yang memperoleh satu mata ketika menetang Rusia akan sedaya upaya cuba memenangi perlawanan ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam Kumpulan H sekaligus mencerahkan laluan ke pusingan kalah mati.