Institut Sukan Negara (ISN) memberi jaminan untuk tetap memberi keutamaan kepada atlet negara di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan perkhidmatan di Pusat Perubatan Sukan Negara (PPSN).

Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli berkata garis panduan pelaksanaan PPSN yang dibuka secara rasmi kepada orang awam mulai hari ini (Rabu), diwujudkan bagi memastikan operasi pusat itu berjalan lancar dengan mengambil kira kepentingan atlet negara.

"PPSN tidak akan meminggirkan atlet dan akan tetap mengutamakan atlet negara yang berada di dalam program seperti Podium, Pelapis dan Paralimpik.

"Keutamaan akan diberikan dari segi rawatan kepada mereka (atlet). Apabila kami telah berikan dan sudahkan slot itu kepada atlet negara, barulah kami akan buka kepada orang awam," katanya kepada pemberita selepas pelancaran PPSN di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Keutamaan khas dalam slot/sesi rawatan itu termasuk pemeriksaan doktor, rawatan fisioterapi dan urutan kepada atlet di samping keperluan bersama staf perubatan semasa bertanding di dalam atau keluar negara, katanya.

PPSN berfungsi sebagai pusat jagaan ambulatari yang membuka peluang kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan perubatan sukan berkualiti bertaraf antarabangsa secara harian.

Dalam pada itu, Ahmad Faedzal berkata tenaga kerja sedia ada di PPSN adalah mencukupi bagi menampung perkhidmatan kepada atlet mahupun orang awam.

"Pada masa ini, kadar utilisasi kami adalah 40-50 peratus, kami ada lagu sekitar 60-50 peratus lagi ruang yang boleh kami terokai untuk diberikan kepada pihak awam. Sebab itu kami berhasrat untuk memaksimumkan potensi kami melalui PPSN," katanya.

Menerusi langkah pengkomersilan ISN ini, PPSN dijangka dapat menjana keuntungan dengan peningkatan sebanyak 20 peratus pendapatan tahunan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

Sementara itu, ditanya mengenai keistimewaan yang ditawarkan oleh PPSN untuk menarik orang awam, Ahmad Faedzal berkata pengalaman 25 tahun pakar-pakar di ISN dalam mengendalikan atlet negara bertaraf dunia yang mendapatkan khidmat di ISN.

Beliau berkata, dengan perkhidmatan perubatan sukan setaraf atlet dunia, kadar caj PPSN lebih rendah berbanding caj di pihak pusat perubatan swasta.

"Secara umumnya, kalau kita benchmark daripada perubatan swasta, kadar di PPSN adalah 20 peratus lebih rendah berbanding hospital swasta," katanya.

Untuk mendapatkan perkhidmatan PPSN, orang awam boleh melayari portal pusat itu di ppsn.isn.gov.my.

-- BERNAMA