Berita  | Sukan

PSSI beri lampu hijau Evan, Ilham ke Selangor

PSSI beri lampu hijau Evan, Ilham ke Selangor
Subahan (tengah) berterima kasih kepada Edy Rahmayadi kerana sudi menerima kunjungannya bagi membincangkan serta menyelesaikan masalah membabitkan kedua-dua pemain tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akhirnya bersetuju membenarkan dua bintang muda republik itu, Evan Dimas dan Ilham Udin menyertai pasukan Selangor pada musim 2018.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini, satu pertemuan di antara Presiden FAS Datuk Seri Subahan Kamal dan Presiden PSSI Edy Rahmayadi di Jakarta, semalam telah berjaya mencapai keputusan positif mengenai kemelut perpindahan dua pemain tersebut.

Bagaimanapun, Edy hanya memberi 'lampu hijau' kepada kedua-dua pemain daripada kelab Bhayangkara FC itu untuk terbang ke Malaysia bagi memulakan latihan pra musim bersama skuad 'Gergasi Merah' selepas FAS bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan pemimpin tertinggi bola sepak Indonesia itu.

"Kami di FAS bersetuju untuk mengikuti sebarang arahan daripada Presiden PSSI berhubung penyesuaian jadual dan tempoh pelepasan bagi kem latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia terutama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) mereka bagi persiapan menghadapi Sukan Asia 2018.
"Saya juga berterima kasih kepada Edy Rahmayadi kerana sudi menerima kunjungan saya ini bagi membincangkan serta menyelesaikan masalah membabitkan kedua-dua pemain ini," kata Subahan seperti dipetik dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, media Indonesia melaporkan Edy secara terbuka membidas keputusan dua pemain tersebut berpindah ke Selangor dengan melabel mereka sebagai tidak patriotik dan 'mata duitan'.

Ia susulan kebimbangannya jika corak permainan pemain muda skuad 'Garuda' itu mudah dibaca jurulatih skuad negara, sekali gus akan memberi kesan negatif terhadap pasukan Indonesia.

Pada masa sama, Edy turut melahirkan kebimbangan sekiranya Selangor tidak membenarkan dua pemain itu menyertai latihan pusat skuad Indonesia bagi menghadapi temasya Sukan Asia 2018.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata sejurus mencapai persetujuan bersama FAS semalam, Edy melahirkan rasa gembira di atas kunjungan dan kesediaan FAS mematuhi syarat yang ditetapkan badan induk bola sepak Indonesia itu.

"PSSI berterima kasih atas kunjungan dan persetujuan daripada FAS yang memahami pentingnya persiapan skuad B-23 Indonesia bagi menghadapi Sukan Asia 2018 selaku tuan rumah," katanya.

Evan dan Ilham yang masing-masing berumur 23 dan 22 tahun dijangka tiba di Malaysia esok sementara seorang lagi import baharu Selangor, Willian Pacheco dari Brazil yang beraksi bersama Persija Jakarta musim lalu akan tiba pada Ahad.

Dalam pada itu, Selangor hanya mengekalkan seorang pemain import musim lalu iaitu penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018 bermula 3 Feb depan.

-- BERNAMA