SKUAD ragbi 7s lelaki negara memulakan saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan langkah kanan selepas mencatatkan kemenangan besar 51-0 ke atas Kemboja dalam pertemuan di Stadium Petaling Jaya, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia berjaya menebus kekecewaan dua tahun lalu di Singapura selepas tewas dengan lawan sama 24-7.

Tiada ruang diberikan oleh anak-anak buah Mohd Saizul Hafifi apabila melancarkan asakan demi asakan sejak awal permainan untuk meraih 51 mata.

Bagaimanapun, dalam aksi sebelum itu, hasrat pasukan ragbi wanita negara untuk bermula dengan titik kemenangan tidak kesampaian selepas tewas 15-0 di tangan Singapura.

Skuad kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man nyata bukan tandingan Singapura apabila lawan bijak mengatur setiap gerakan untuk mendapatkan mata.

Malaysia dijadualkan bertemu Laos pada jam 1 tengah hari bagi aksi kedua wanita manakala pasukan lelaki akan menentang Singapura selepas itu.