WALAUPUN masih digantung, juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov merancang untuk kekal aktif selepas ini, menurut ejen petarung dari Rusia itu, Ali Abdelaziz.

Khabib, 30 tahun yang juga seorang penganut Islam, kini sedang menjalani ibadah puasa, sedang berehat dari sebarang aksi pertarungan seni bela diri campuran (MMA).

Memetik laporan ESPN, Khabib ingin mempertahankan kejuaraannya pada September ini.

Dia juga menyatakan hasratnya untuk bertarung sekali lagi pada Disember tahun ini dan sekali lagi pada April 2020.

"Khabib memberikan arahan yang spesifik. Dia ingin bertarung pada 7 September dan bertarung sekali lagi pada bulan Disember.

"Dan jika Georges St-Pierre dapat persetujuan daripada UFC, dia ingin bertarung dengannya pada April 2019," kata Abdelziz.

St-Pierre, 37 tahun merupakan bekas juara UFC bagi divisyen walterweight dan middleweight.

Dia yang dianggap lagenda bagi sukan MMA, telah bersara secara rasmi pada Disember lepas.

Namun hasrat Khabib dan St-Pierre untuk bertarung bukanlah sesuatu yang baharu.

Apabila ditanya tentang perlawanan semula menentang Conor McGregor, Abdelaziz berpendapat McGregor perlu membuktikan dirinya adalah pasaing nombor satu bagi divisyen lightweight.

"Secara jujurnya, Conor perlu kembali dan bertarung dengan petarung seperti Justin Gaethje, Tony Ferguson atau Cowboy (Donald Cerrone)," kata Abdelaziz.

"Dia bukanlah pesaing yang layak untuk mencabar kejuaraan. Itu pandangan kami, sebagai sebuah pasukan."

Khabib dijangka mempertahankan kejuaraannya menentang juara interim divisyen lightweight, Dustin Poirier pada acara UFC 242 yang dijadualkan berlangsung pada 7 September di Abu Dhabi.

"MMA menjadi begitu popular di Timur Tengah dan Afrika Utara selepas Khabib menewaskan Conor," kata Abdelaziz.

"Untuk pergi ke Abu Dhabi dan bertarung dihadapan mereka, serta menunjukkan kepada anak-anak muda di sana yang beragama Islam, tentang kewujudan UFC dan memberi inspirasi kepada mereka bahawa mereka boleh menjadi juara UFC tanpa mengira bangsa, agama dan dari mana mereka datang, ia sesuatu yang sangat istimewa bagi Khabib.

"Dia adalah duta besar MMA bagi rantau itu," tambah Abdelaziz.

Jika pertarungan ini menjadi kenyataan, bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov yang juga jurulatihnya, dijangka akan berada di 'corner' Khabib.

Abdulmanap sebelum ini tidak berkesempatan berada di sisi Khabib ketika pertarungannya di Amerika Syarikat kerana masalah visa.