"TERIMA KASIH kepada semua yang berada di Malaysia atas sokongan yang ditunjukkan kepada saya serta seluruh pasukan Liverpool untuk sekian lama.

"Ya, ia memang usaha yang panjang buat saya secara peribadi dan perjalanan karier pasukan kami," kata Jordan Henderson.

Demikian antara reaksi yang cukup beremosi daripada ketua pasukan Liverpool itu kepada seorang penyokong Liverpool dari Malaysia, yang dikenali sebagai Afiq.

Respons yang diberikan Henderson itu juga dirasai oleh ribuan penyokong pasukan bola sepak itu di Malaysia.

Menurut Henderson, perjalanan yang panjang dan seterusnya membuahkan kejayaan pada akhirnya adalah kerana hasil sokongan daripada seluruh peminat kepada Liverpool.


"Apa yang saya lihat, perjalanan ini adalah hasil daripada sokongan semua penyokong di seluruh dunia dan saya harap satu hari nanti dapat bertemu dengan kamu," katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan di akaun Twitter Stadium Astro pada Sabtu.

Rakaman itu dibuat khusus untuk Afiq, yang telah menghantar pesanan kepada Henderson bagi menzahirkan sokongan dan penghargaan kepada pasukan tersebut.

Pihak Stadium Astro telah menghantar bekas bintang kelab juara Inggeris itu, Danny Mills untuk menemu bual Afiq di kediamannya.

Dalam pertemuan dengan Mills, lima soalan telah diajukan kepada Afiq - antaranya tahun berapakah Liverpool FC menang dalam liga pertama, dan siapakah daripada pasukan Liverpool yang menjaringkan satu-satunya gol pada Perlawanan Akhir Eropah 1978.

Bagaimanapun, Afiq hanya berjaya menjawab satu soalan dengan betul dan dia telah menerima sehelai jersi Manchester United, yang ternyata, hadiah itu tidak begitu menggembirakannya.



Bagaimanapun, 'gurauan' itu diteruskan Mills dengan satu kejutan istimewa.

"Awak merupakan pelanggan Astro Sports Pack maka kami dapatkan awak jersi yang ditandatangani oleh Jordan Henderson, Kapten Liverpool.

"Adakah awak hendak membuat pertukaran dengan saya? Bolehkan saya mendapatkan reaksi yang gembira apabila kita menukar jersi ini?" kata Danny.