Hasrat Manchester United untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City berkecai selepas The Red Devils tumpas 1-2 dalam aksi Manchester Derby awal pagi tadi.

Keputusan di Old Trafford itu meletakkan City kekal di takhta liga dengan jurang 11 mata di depan Manchester United.

Skuad kendalian Pep Guardiola mendahului menerusi jaringan David Silva pada minit ke-43.

Bagaimanapun kedudukan kembali seimbang apabila Marcus Rashford meledak gol penyamaan di penghujung babak pertama untuk mengikat kedudukan satu sama.

Nicolas Otamendi muncul wira skuad The Citizens apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-54.

Ini kemenangan ke 14 berturut-turut City dalam EPL sekaligus menyamai rekod sebelumnya yang dicipta Arsenal antara Februari dan Ogos 2002.